- Gambar hiasan

SABAN hari apabila kita memandu dan berhenti di persimpangan jalan yang terdapat lampu isyarat trafik – yang berlampu merah, kuning dan hijau – pasti kita dapat menyaksikan ada sahaja orang yang ‘melanggar’nya.

Atau dalam istilah lain tidak memberhentikan kenderaannya sewaktu lampu sedang menyala merah. Ini memang nyata melanggar peraturan atau undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

Perbuatan seperti ini seolah-olah sudah tidak terkawal. Ia berlaku sewenang-wenangnya hingga pelakunya tidak takut pada peraturan lalu lintas. Mereka seperti bermaharajalela. Orang lain pula hanya memerhati dan tidak ambil kisah perbuatan mereka melanggar undang-undang ini.

Apabila ditanya kenapa melanggar lampu merah? Jawabnya hendak cepat! Tidak mahu menunggu lama, walaupun lampu merahnya hanya menyala dari 20 saat hingga ke dua minit. Malas hendak berhenti. Dan mengejar ‘trip’ iaitu hendak mendapat seberapa banyak upah penghantaran.

Perbuatan ini bukan berlaku di satu dua tempat sahaja malah seluruh negara. Dan kerap kita melihat yang melanggar lampu merah ialah pemandu motosikal. Dan kerap juga kita membaca laporan mereka dilanggar atau terlanggar kenderaan lain selepas melanggar lampu merah.

Jika kita rajin duduk di simpang kita dapat melihat pelbagai orang melanggar lampu merah. Ada bapa atau ibu membonceng anak. Ada budak berseragam sekolah. Ada orang dewasa berkopiah. Ada penjaja bersama barangannya. Ada remaja lelaki dan wanita. Dan ada berpakaian seragam.

Sewaktu pandemik Covid-19 ini, paling ramai pelakunya ialah penghantar makanan. Mereka melanggarnya sesuka hati dan membawa motosikal dengan laju seolah-olah orang yang menempah makanan akan mati jika makanan tidak sampai tepat pada waktunya.

BERITA BERKAITAN Sistem lampu jalan pintar di Putrajaya, infrastruktur IoT pertama di Malaysia

Jika orang asing melihat perkara ini mereka pasti tercengang melihat orang Malaysia boleh melanggar undang-undang sesuka hati. Di luar negara seperti Eropah, Amerika Syarikat malah Singapura, kita pula yang kagum melihat penduduk setempat begitu patuh pada peraturan jalan raya.

Mereka bila naik kenderaan mesti mengenakan tali keledar, naik motosikal pasti pakai topi keledar dan bila lampu isyarat trafik berwarna merah wajib berhenti. Malah jika melihat ada orang hendak menyeberang jalan di lintasan zebra mereka memperlahankan kenderaan mereka.

Mereka begitu hormat pada peraturan jalan raya walaupun ia hanya satu undang-undang kecil. Tidaklah pasti sama ada ini kerana didikan yang mereka terima sejak kecil atau mereka takut pada hukuman jika melakukan kesalahan.

Dahulu dalam tahun 60-an dan 70-an, sekolah-sekolah rendah ada aktiviti ‘Shell traffic games’. Kanak-kanak sekolah dalam permainan trafik ini yang memandu kereta kayuh diajar berhenti bila lampu merah atau di lintasan zebra. Tidaklah pasti permainan trafik ini masih ada lagi atau tidak.

Di Amerika Syarikat melanggar lampu merah dan tidak memakai tali keledar seperti satu kesalahan besar. Kalau kita naik teksi ‘Yellow Cab’ di New York, bila duduk sahaja pemandunya terus menyuruh memakai tali pinggang keledar. Katanya kalau tidak patuh akan kena saman.

Mereka juga seperti menghormati lampu trafik. Jika lampu berwarna merah mereka akan berhenti. Mungkin mereka takut pada undang-undangnya yang keras. Di dalam filem-filem Amerika, selalu kita lihat polis trafik tegas menangkap mereka yang melanggar lampu merah.

Tetapi yang pasti pemandu luar negara sentiasa bersopan santun dan mematuhi peraturan jalan raya bila berada di jalan raya. Siapa yang pernah ke London, Tokyo, New York atau Singapura boleh mengesahkan perkara ini.

Kenapa sifat hormat, kesopanan dan kepatuhan dalam kalangan kebanyakan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal di negara kita tidak sedemikian? Nilai pekerti ini seolah-olah sudah luntur atau mungkin sudah hilang.

Kalau disenaraikan kelakuan buruk pemandu kita memang banyak seperti membawa kenderaan secara melulu dan laju, mengguna laluan kecemasan, memotong secara bahaya, parkir sesuka hati, tidak suka memberi isyarat bila membelok dan menjadi pembuli jalan raya.

Kemungkinan kelakuan buruk kita ini berleluasa kerana kurangnya ketegasan dalam tindakan penguatkuasaan oleh pihak bertanggungjawab. Di negara kita kuasa menguatkuasakan peraturan trafik diberikan kepada polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak berkuasa tempatan. Ada kuasa-kuasa ini memang bertindih sesama mereka.

Tindakan penguatkuasaan pihak berwajib kita kurang meninggalkan kesan ‘ketakutan’ atau rasa hormat terhadap undang-undang pada pengguna jalan raya kerana ia tidak dilakukan secara berterusan dan bertumpu. Penguatkuasaan kita bersifat bermusim atau ‘seasonal’ dan ‘ad-hoc’.

Kadang kala bila berlaku kes yang memudaratkan atau apabila ditegur oleh pihak pimpinan di atas barulah hendak dibuat tindakan penguatkuasaan bersungguh-sungguh. Mungkin atas sebab itu rasa takut pada undang-undang tidak ada atau bersifat sementara pada pengguna jalan raya.

Sesiapa yang pernah ke Singapura akan pasti tahu betapa patuhnya pengguna jalan raya di negara itu pada undang-undangnya. Salah satu sebab kerana banyaknya ‘mata’ memerhati perilaku mereka. Di Singapura memang banyak kamera litar tertutup dipasang di segenap pelosok negara kota itu.

Seperkara lagi, Singapura memang tegas menjalankan pengkuatkuasaan dengan pegawai-pegawainya sentiasa turun padang menjalankan operasi sehingga semacam ada ‘omnipresence’ atau kehadiran pelbagai pihak berkuasanya di mana-mana.

Inilah salah satu sebab yang menyebabkan masyarakat Singapura sentiasa berhati-hati untuk melakukan apa sahaja. Malah hendak buang sampah sesuka hati seperti puntung rokok atau kertas tisu pun cuak, tidak seperti orang di negara kita.

Sebenarnya kita pun ada kamera di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain tetapi setakat itulah. Kita kurang memanfaatkan atau mengoptimumkan penggunaan kemudahan alat dan sistem yang canggih ini untuk menguatkuasakan setiap peraturan yang ada dan meningkatkan daya kepatuhan terhadap undang-undang dalam kalangan rakyat kita.

Orang luar dan orang kita sendiri sering menyatakan negara kita mempunyai kemudahan kelas pertama dan alatan yang hebat dan canggih, tetapi penggunaan atau pelaksanaannya kelas tiga. Pendek kata, kita tidak memanfaatkan sepenuhnya apa yang kita ada.

Seperti juga dengan undang-undang. Negara kita cukup lengkap dengan undang-undang untuk pelbagai kesalahan. Tidak perlu ditambah lagi dengan undang-undang baharu. Tetapi undang-undang yang ada ini tidak dikuatkuasakan. Inilah menjadi punca orang melanggar lampu merah.

Apatah lagi undang-undang lain yang lebih besar yang jika dilanggar dan tindakan pula tidak diambil, ia boleh membahayakan keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara.

Cuba kita letakkan seorang pegawai beruniform di simpang yang ada lampu isyarat sehari suntuk selama seminggu. Dia menyaman setiap mereka yang langgar lampu merah dan tidak bertopi keledar. Kita lihat apa kesannya dan laporkan impaknya seminggu kemudian di sini!

* Datuk Zakaria A. Wahab merupakan bekas Ketua Pengarang Bernama 2014-2019. Mula menyertai Bernama sebagai wartawan pada 1980. Berkhidmat dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1992 hingga 2003 sebagai Penolong Setiausaha Akhbar dan kemudian Setiausaha Akhbar.

Pernah melalui pengalaman sebagai Ketua Biro Bernama Pulau Pinang, Sarawak dan Koresponden Singapura selain sebagai Pengarah Eksekutif anak syarikat teknologi maklumat Bernama Systems and Solutions Advisor (Bessar) yang kini dipanggil UXERA.