Kerana ‘Segemal Padi’ Radzi menang pertandingan mencipta logo ASEAN

Dari Penulis

SETANGKAI padi mudah dipatah. Tetapi segemal padi tidak mungkin. Kerana ‘Segemal Padi’ juga membawa kejayaan kepada Mohammad Radzi Hanif, 66, memenangi pertandingan mencipta logo Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 1977.

‘Segemal Padi’ adalah lambang kesatuan dan kekuatan Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN). Idea kreatif penuh simbolik yang ditonjol dan diabadikan kan oleh Radzi dalam ciptaannya berjaya menawan hati Sekretariat ASEAN.

Mungkin ramai rakyat Malaysia sendiri tidak tahu logo ASEAN dicipta oleh rakyat negara ini. Radzi, anak anggota polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, menempa nama memenangi pertandingan mencipta logo tersebut menewaskan ramai peserta dari Malaysia dan ASEAN.

Mohammad Radzi Hanif…Wajah terkini pencipta logo ASEAN.

Ketika itu, beliau berusia 21 tahun dan menuntut di tahun tiga Institut Teknologi Mara (ITM) dan tahun dua jurusan grafik, Kajian (kini Fakulti) Senilukis dan Senireka (KSS) atau School of Arts and Designs. Tahun pertama beliau di ITM merupakan tahun asas atau pra-diploma.

Radzi memiliki bakat melukis semula jadi, terserlah sejak di bangku sekolah. Beliau melanjutkan pelajaran ke ITM (kini Universiti Teknologi Mara) pada 1974 selepas tamat Malaysian Certificate of Education (MCE) di High School, Setapak pada 1973.

Walau pun mendapat tawaran menjadi guru, beliau memilih memasuki ITM kerana minatnya dalam bidang grafik. Tamat kursus pra-diploma pada 1975, beliau ditawar pengkhususan dalam bidang yang diidam, membuka laluan hasrat untuk menjadi seorang pereka bentuk (designer).

Contoh logo ASEAN yang direka cipta oleh Mohammad Radzi untuk menyertai Pertandingan logo ASEAN yang dihantar kepada Sekretariat ASEAN pada 1977. Logo ini menjulang Radzi sebagai pemenang. Ketika itu ASEAN mempunyai lima negara anggota.

Mengimbau penyertaannya mencipta logo ASEAN, Radzi memberitahu, beliau mendapat tahu mengenai pertandingan itu melalui Ketua Kursus atau Course Tutor KSS, Hashim Hassan dan pensyarah grafik, Raja Zahabuddin Yaakob.

Menurutnya, memang menjadi kebiasaan jika ada pertandingan reka cipta, pelajar grafik yang paling awal dirujuk oleh ITM. Sebelumnya, ramai senior Radzi memenangi pelbagai pertandingan, mengharumkan nama fakulti dan ITM. Antara yang dimenangi pertandingan poster, logo, reka bentuk kalendar, kulit buku dan laporan tahunan.

“Dalam pertandingan logo ASEAN ini hampir semua pelajar grafik ITM menyertainya. Penyertaan designer lain di Malaysia serta semua negara Asean (lima negara ketika itu) menjadikan persaingan lebih sengit,” kata Radzi, mantan designer di penerbitan terkenal, Fajar Bakti, juga mantan Pegarah Rekabentuk (Arts Director) di Berita Publishing, penerbit pelbagai majalah popular.

Konsep logo yang dikehendaki ialah menyerlahkan perpaduan dan kesepakatan serta kekuatan ASEAN, memaparkan semangat kekitaan gabungan negara berlainan di Asia Tenggara tetapi mempunyai satu suara satu visi.

Peserta diberi kebebasan mencipta konsep logo tetapi mesti menepati aspek persamaan, matlamat bersama atau common goal, serta sovereignty setiap negara. Jelasnya simbol tersebut mestilah menyerlahkan perikatan negara-negara ASEAN.

Radzi melakar gubahan dengan menekankan konsep berteras kebudayaan, identiti kawasan (regional identity) serta penekanan aspek bentuk dan warna.

“Bagi saya konsep logo itu perlu agak samar daripada segi makna, tetapi mudah dan ‘menangkap’ (catchy) untuk segera menarik perhatian ramai. Kesamaran boleh dilihat sebagai menyerlahkan makna logo tersebut jika dihayati,” katanya dalam satu pertemuan.

Radzi juga tidak lupa menjelaskan konsep kesamaran makna dalam ideanya, mempersembahkannya dalam bentuk perkataan dan imej yang mudah. Dalam usaha mencipta logo ini, beliau melakukan banyak rujukan di perpustakaan ITM, selalunya selepas kelas waktu tengahari. Beliau meneliti dan mengkaji bentuk-bentuk design masa lalu bagi memahami dan menyelami imej, teknik dan ekspresi visual.

BERITA BERKAITAN ASEAN boleh manfaat kepakaran Rusia dalam memerangi jenayah siber – Ismail Sabri

“Saya menghabisan masa tiga minggu di perpustakaan membuat kajian tetapi memerlukan hanya lima jam untuk menghasilkan rekaan logo yang berkonsepkan segemal padi,” katanya yang juga bekas pensyarah di Universiti Lim Kok Wing dan Universiti Multimedia.

MOHAMMAD Radzi Hanif melakar gubahan sambil bersantai di tepi laut ketika menjadi pelajar grafik ITM.

Kenapa segemal padi? Beliau berkata, konsep persamaan yang menjadi fokus untuk beliau tonjolkan ialah persamaan ekonomi atau common economy di kalangan negara ASEAN kerana ia merupakan ikatan persamaan yang kuat di kalangan mereka berbanding aspek lain.

“Negara ASEAN adalah kawasan pertanian. Padi adalah tanaman utama negara-negara berkenaan dan beras adalah makanan utama. Konsep inilah yang saya ambil sebagai asas reka cipta,” katanya.

“Konsep ini menyerlahkan kesatuan dan kekukuhan negara ASEAN. Seperti setangkai padi mudah dipatah. Tetapi jika ia segemal maka tidak mungkin boleh dipatah,” jelas Radzi.

Beliau sedar konsep kesamaran yang beliau terapkan mungkin menimbulkan salah tafsir pihak yang meneliti logo. Kerana itu beliau mengambil masa sepanjang malam menulis rasional lakarannya.

Radzi memperkemas dan menambah baik logo ciptannya bersama seorang pegawai ASEAN dari Singapura yang memberikan kerjasama baik. Perubahan kecil dibuat di sana sini sebelum dihantar kepada Sekretariat ASEAN.

Hasil kerja bersungguh-sungguh dan teliti, logo cipataannya dipilih sebagai pemenang. Untuk itu beliau menerima hadaiah AS500 atau RM1,250 waktu itu (1978). Majlis penyampian hadiah dilakukan di Wisma Putra, Kuala Lumpur.

Kejayaan Radzi membanggakan negara, ITM dan fakulti. Logo itu dicipta ketika negara anggota ASEAN hanya lima. Dengan pertambahan negara ASEAN sehingga 10 kini, logo diubah suai seawajarnya, tanpa mengubah konsep logo asal.

Untuk rekod, Radzi juga mencapai kejayaan cemerlang dalam kariernya. Beliau juga berpengalaman mengarahkan reka bentuk dan reka letak (layout) untuk majalah, contohnya Investors Digest, Malaysian Business, The New Straits Times Annual, buku teks dan bahan promosi.

Beliau kini masih aktif berkarya secara bebas atau freelance. Selain kepakaran dalam reka bentuk design, beliau berbakat sebagai jurufoto dan menulis buku. Beberapa buku telah dihasilkan berkisar design, dokumentasi visual dan kebudayaan. Beliau juga telah mengadakan beberapa pameran lukisan.

Beliau kini menetap di Taman Tasik Permaisuri Rawang bersama bersama isteri, Faridah Salehan., juga bekas pelajar Kajian Senilukis dan Senireka, serta dua anak.

Berbual dengan beliau akan terasa mendalam ilmunya mengenai design, fotografi dan penulisan buku. Anda akan terpesona mendengarnya. – UtusanTV

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tak seperti biasa, Piala Dunia 2026 kelihatan suram

HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Piala Dunia 2026 dimulakan dengan perlawanan pertama melibatkan satu daripada pasukan tuan...

More Articles Like This