Khairy Jamaluddin mengadakan lawatan ke Institut Kesihatan Negara hari ini. / Gambar FB KKM

SATU kes positif COVID-19 dikesan di pintu masuk Malaysia pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata maklumat itu diterima pagi tadi daripada pintu masuk antarabangsa Tambak Johor, iaitu satu kes positif dari ujian RTK-Antigen yang dikesan ketika ujian saringan semasa ketibaan. 

“Perkara ini sedang disemak melalui ujian pengesahan secara RT-PCR. Kita hendak uji melalui RT-PCR bagi mengesahkan keputusan ujian yang dibuat melalui RTK-Antigen,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas COVID-19 Institut Kesihatan Negara hari ini.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru kini sedang membuat penilaian risiko terhadap penumpang bas yang bersama individu dikesan positif tersebut, sama ada mereka diperlukan menjalani kuarantin dan sebagainya.

“Walaupun ada satu kes saya tidak menganggap ini sebagai satu yang boleh menggagalkan VTL ini sebaliknya adalah satu contoh bagaimana ujian saringan pra-ketibaan  dan saringan semasa ketibaan serta semua adalah langkah pencegahan perlu kita adakan. Bukan bermaksud kita kena batalkan VTL kerana satu kes (positif).

Baca: Lebih setahun terpisah, tangisan kegembiraan sebaik jejak Johor Bahru

“Akan ada kes-kes positif, tapi yang penting adalah dari segi keupayaan dan keperluan diagnosis kita serta penilaian risiko yang dibuat PKD apabila kes seperti ini berlaku,” katanya.

Khairy berkata hari ini adalah hari penting kepada Malaysia dan Singapura, jiran paling hampir kepada kedua-dua negara untuk membuka sempadan dengan selamat.

“Petang nanti apabila kita dah ada maklumat lanjut, kita akan keluarkan kenyataan mengenai status VTL yang bermula hari ini,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram