KUALA LUMPUR (KL) City FC muncul juara Piala Malaysia apabila menewaskan pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 dalam perlawanan akhir yang menarik malam ini.

Walaupun turun sebagai pasukan underdog, KL City menampilkan aksi cemerlang, terutama pemain di barisan pertahanan yang berjaya mengekang serangan demi serangan dari barisan pemain JDT.

Ketangkasan Kevin Mendoza dalam perlawanan malan ini mengecewakan JDT selepas penjaga gol dari Filipina itu dengan cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada pemain JDT.

KL City FC mendahului JDT 1-0 melalui jaringan pemain tengah Zhafri Yahya pada minit ke-66 dan kapten pasukan Paulo Josue menggandakan kedudukan kepada 2-0 menerusi jaringan pada minit ke-74.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada saingan 45 minit babak pertama final Piala Malaysia dengan kedudukan kekal 0-0.

Kemenangan itu membolehkan skuad ‘Warga Kota’ mengucapkan selamat tinggal kepada penantian 32 tahun untuk memenangi piala keagungan itu yang juga gelaran keempat mereka selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

Lebih manis, bukan setakat mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka juga meraih tiket ke Piala AFC musim depan.

KL City mara ke final mengatasi Melaka United 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas keputusan agregat terikat 2-2 pada pusingan separuh akhir, manakala juara 2017 dan 2019, JDT membenam Terengganu FC 4-1 secara agregat untuk melangkah ke final.

Babak pertama: KL City FC 0-0 JDT

Penjaring: KL City FC – Zhafri Yahya (minit ke-66), Paulo Josue (minit ke-74)

Barisan pemain:

KL City FC: Kevin Ray Mendoza Hansen, Daniel Sang Ting, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri, Ryan Edward Lambert, Romel Morales, Zhafri Yahya (Arif Shaqirin Suhaimi), Giancarlo Gallifuoco, Muhammad Akram Mahinan, J. Partiban (Muhammad Hadin Azman), D. Kenny Pallraj (Muhammad Shukor Adan), Paulo Josue (Kapten).

JDT: Mohd Farizal Marlias (Kapten), Matthew Davies, Mohd Afiq Fazail (Mohamadou Sumareh), Bergson da Silva, Leandro Velazquez, S. Kunanlan (La’vere Lawrence Corbin-Ong), Shane Lowry, Muhammad Safawi Rasid (Muhammad Nazmi Faiz Mansor), Ignacio Insa Bohigues, Mauricio Dos Santos Nascimento, Arif Aiman Mohd Hanapi (Muhammad Syafiq Ahmad).

– UTUSANTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram