Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan replika kunci kepada pemilik kediaman Residensi Kuchaimas, hari ini.

RESIDENSI Wilayah Keluarga Malaysia menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 80,000 unit kediaman dalam tempoh 10 tahun sehingga 2028 dengan sasaran 8,000 unit setahun.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited menyediakan perumahan mampu milik yang selesa kepada semua golongan Keluarga Malaysia termasuk B40 atau M40.

Menurut Perdana Menteri, sebanyak 62,836 unit rumah melibatkan 102 projek berkenaan telah diluluskan untuk pembinaan sehingga November lalu.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, sebanyak 95 projek terletak di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan.

“Melalui inisiatif ini, tumpuan adalah di kawasan pesat membangun walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.

“Residensi Wilayah Keluarga Malaysia bertujuan merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri dengan persekitaran selesa dan kondusif.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah harga rumah tersebut berpatutan dan mampu milik.

“Saya minta Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi di bawahnya memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan kerjasama pemaju swasta kerana ini adalah penting untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Malaysia tidak teragak suarakan pendirian – PM

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Residensi Kuchaimas, hari ini.

Mengulas mengenai projek tersebut, Ismail Sabri berkata Residensi Kuchaimas dibina di atas tanah berkeluasan 1.58 ekar dengan blok bangunan berketinggian 49 tingkat.

Kata beliau, projek tersebut menyediakan 478 unit kediaman pada harga RM198,000 setiap unit yang berkeluasan 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak tempat letak kereta berbumbung.

Ismail Sabri memaklumkan, Residensi Kuchaimas menggambarkan keterangkuman Keluarga Malaysia dengan 60.3 peratus kaum bumiputera; 37.4 peratus Cina dan 2.3 peratus India.

“Sudah tentu, dengan keselesaan ini, masyarakat berbilang kaum dalam Keluarga Malaysia dapat hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

“Saya yakin komuniti Residensi Kuchaimas akan meraikan persamaan dan perbezaan berdasarkan nilai-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram