RUMAH Prihatin@Grand Season akan menempatkan mangsa banjir yang kesusahan, mengikut kapasiti dan keutamaan.
Pengasasnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Dapur Prihatin akan siapkan masakan untuk dihantar ke kawasan yang memerlukan.
“Saya bersama team Rumah Prihatin @ Grand Season sediakan sumbangan 2,000 pek makanan bermasak setiap hari untuk yang memerlukan.
“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin bantu edaran sila hubungi Rumah Prihatin,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Terdahulu, Annuar berkata, semua aset, personel Penerangan dan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) termasuk Komuniti Keluarga Malaysia di kawasan banjir, diminta segera membantu penduduk yang terlibat dengan bencana itu.
Baca: 14,000 mangsa banjir dipindah, hampir 5,000 di Selangor
PM turun padang bertemu mangsa banjir Selangor
Beliau yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, penyaluran maklumat dan berita juga perlu dipertingkatkan untuk membantu operasi.
“‘Team’ Rumah Prihatin@Grand Season dan sukarelawan Privo (sukarelawan Wilayah Prihatin atau Prihatin Volunteers) diminta bersedia, untuk dikerah membantu mangsa banjir.
“Mesyuarat tergempar disegerakan awal pagi dan kita selaraskan dengan agensi barisan hadapan yang lain,” kata Annuar.
Selain Kuala Lumpur, negeri lain yang terjejas adalah Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.

