Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi GAMBAR: Abd Razak Aid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beranggapan bukan suatu perkara luar biasa kepada partinya sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat.

Memetik laporan portal Free Malaysia Today, Ahmad Zahid berkata jentera UMNO sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk melibatkan pilihan raya.

Kata beliau, rakyat sudah tentu mahu keputusan lebih baik kepada UMNO berbanding semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahmad Zahid berkata, tahap keyakinan UMNO pula mesti berdasarkan kepada sains dan data.

“Bila dan apa juga keputusan yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita akan patuhi sepenuhnya. Jentera kita telah melakukan pendekatan operasi sejak beberapa lama lalu terutama ketika pilihan raya kecil (PRK) di beberapa tempat.

“Untuk PRN jadi, ini bukan sesuatu luar biasa sekiranya PRN Johor itu diarahkan,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang membantah pindaan kepada Akta 342 di Ibu Pejabat UMNO.

Baca artikel berkaitan: PRN Johor hanya desas-desus, kata Hamzah

Mengenai sama ada PRN Johor sesuai diadakan pada waktu terdekat, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut.

“Tak apa, tak apa,” katanya ringkas.

Ahmad Zahid turut menafikan ketika ditanya sama ada UMNO ketika ini terbahagi kepada dua kem.

Khabar angin pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam masa terdekat semakin banyak diperkatakan.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata beliau tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan untuk mengadakan PRN.

Menurutnya, kerajaan Johor masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.

Kerajaan Johor yang kini dipimpin Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai kelebihan satu kerusi susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember tahun lalu.

BN mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11) dan Pas pula satu kerusi menjadikan keseluruhan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram