KESEMUA 56 calon Perikatan Nasional (PN) akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon-calon PN juga telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru seluruh bangsa Johor agar dapat menyokong dan mengundi calon PN pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac nanti.
“Inilah peluang keemasan bagi bangsa Johor untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.
“Undilah Perikatan Nasional!,” katanya menerusi Facebook beliau petang ini.
Baca: [VIDEO] PRN Johor: PN tampil 41 muka baharu, 19 calon bawah usia 40
Kata Presiden Bersatu itu, dengan keazaman yang tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, beliau percaya pasukan PN mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini.
Ini katanya, untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang maju, yang mana kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) melahirkan rasa gembira dan bersyukur ke hadrat Allah SWT apabila kesemua 56 calon mewakili PN diterima untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac depan selepas proses penamaan calon berakhir.
“Saya juga bersyukur apabila dimaklumkan proses penamaan calon di seluruh negeri pagi tadi berjalan lancar.
“Seperti yang pernah saya tegaskan, mereka yang dipilih mewakili PN adalah calon yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat,” jelasnya.

