KALAU boleh ke pasar raya yang ramai orang, maka jangan takut keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, dengan prosedur operasi standard (SOP) di tempat pengundian yang ketat, tidak ada sebab untuk orang ramai berasa bimbang.

Sebab itu, katanya, rakyat Johor perlu keluar beramai-ramai pada 12 Mac ini untuk mengundi yang mana ini peluang untuk membuat perubahan dengan memilih PH dan MUDA.
“Kita lihat bersimpang-siur berselisih dengan orang di pasar. Kalau takutkan COVID-19, kita tak akan ke pasar, tak ke pasar raya.
“Tapi di tempat mengundi, SOP sangat ketat. Beratur satu arah sahaja di pusat mengundi sampailah berjalan keluar,” katanya pada ceramah mega PH Johor malam tadi.
Ceramah itu dihadiri pemimpin utama PH iaitu Mohamad Sabu.
Baca: Yang menang, yang kalah, sila kaji dalam-dalam statistik pengundian
Mohamad dalam ceramah itu juga menyeru warga Johor keluar mengundi bagi mengelak berulang kejadian di PRN Melaka yang mana UMNO menang berdasarkan sokongan pengundi kuat mereka terutama di kampung.
Sementara itu, Aminolhuda yang juga calon Amanah bagi DUN Parit Yaani mengajak bangsa Johor menjadi bangsa dihormati dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) bagi kali kedua.
Katanya, peluang perubahan bermula di Johor yang akan dimulakan oleh bangsa Johor untuk mengajar BN.
Dalam ceramah itu, beliau turut membangkitkan isu kenaikan harga barang ketika ini yang sangat dirasai ramai.
“BN kita tahu, telur naik, ayam naik. Sampai K.F.C hilang C (ayam). Kekurangan bekalan ayam.
“Gagalnya kerajaan yang menguruskan negara. Dia salahkan sana sini,” ujarnya.

