KPM umum tujuh pendekatan atasi isu beg berat melibatkan murid sekolah rendah. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENYEDIAAN lokar di sekolah dan penyusunan jadual waktu merupakan antara tujuh pendekatan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi isu beg berat dalam kalangan murid sekolah. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, isu melibatkan beg berat telah lama dibangkitkan ibu bapa dan guru serta masih belum diselesaikan. 

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tampil dengan tujuh pendekatan baharu bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani sebaik mungkin terutama melibatkan murid Tahap Satu di sekolah rendah. 

Menurut beliau, KPM memutuskan untuk menyediakan lokar peribadi kepada setiap murid di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi dengan pendekatan itu dilaksanakan melalui dua fasa. 

Dalam fasa pertama, Radzi berkata, lokar akan disediakan bagi murid tahap satu iaitu Tahun 1, 2 dan 3 melibatkan sebanyak 10,662 kelas dengan 323,186 murid di seluruh negara. 

“Penyediaan lokar ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM37.3 juta. 

“Bagi fasa dua pula, penyediaan lokar akan diperluas kepada murid Tahap Dua iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi pada tahun 2023. 

“Bagi murid sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di laci meja bilik darjah masing-masing. Ini merupakan satu pendekatan baharu buat pertama kali dilaksanakan KPM,” katanya dalam video dimuatnaik ke Facebook, hari ini. 

Tujuh pendekatan ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi isu beg berat dalam kalangan murid.

Baca artikel berkaitan: Tiada penggiliran murid sekolah menengah mulai 4 April – Radzi

Mengulas lanjut, Radzi memaklumkan, KPM juga memutuskan untuk menyusun semula jadual waktu dengan menghadkan jumlah mata pelajaran yang diajar kepada hanya tiga hingga empat mata pelajaran sehari. 

Beliau berkata, sekolah juga akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu. 

Pendekatan ketiga pula, kata beliau, KPM menetapkan bahawa bilangan buku latihan untuk sesuatu mata pelajaran tidak melebihi dua buku pada satu-satu masa dengan setiap buku tidak melebihi 80 muka surat. 

Radzi memaklumkan, pendekatan keempat melibatkan buku aktiviti dan buku kerja dengan murid hanya dibenarkan menggunakan buku aktiviti disediakan KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau ulang kaji di luar waktu pembelajaran di sekolah. 

“Kelima adalah melibatkan buku teks digital dengan penerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan. 

“Buat masa ini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa),” jelas beliau. 

Radzi berkata, pendekatan keenam pula berkaitan dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berpusatkan murid. 

Jelas beliau, ia akan melibatkan PdP secara pembelajaran bertema, modular, berasaskan projek, simulasi amali atau pembelajaran terbeza. 

“Akhir sekali, KPM melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah berbincang dan terus mengadakan perbincangan bagi memastikan murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah semasa sesi persekolahan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA),” katanya. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram