MySejahtera: Tunggu stabil, baru kita hentikan – KJ

Dari Penulis

KERAJAAN akan mengekalkan penggunaan MySejahtera dalam tempoh masa sebulan dua ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, hanya apabila keadaan kes COVID-19 sudah stabil, penggunaan MySejahtera mungkin sesuai untuk dihentikan.

Khairy seperti mana dilapor Bernama menegaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahu bilakah waktu untuk hentikannya.

“Bila keadaan sudah bertambah stabil mungkin waktu itu adalah sesuai untuk kita hentikan penggunaan MySejahtera.

“Macam (Tok Mat) Datuk Seri Mohamad Hasan kata kita dah jadi ‘surveillance state’, itu tidak betul.

“Kita gunakan dulu MySejahtera bertujuan kesihatan orang awam. KKM tahu bila perlu menghentikan penggunaan aplikasi itu,” katanya kepada pemberita di Hospital Port Dickson hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, akan menjelaskan secara terperinci berkenaan persoalan dibangkitkan beberapa pihak mengenai pelantikan MySJ Sdn Bhd sebagai pemegang lesen aplikasi MySejahtera, di Dewan Negara, Khamis ini.

Jelas Khairy, beliau telah memohon kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim untuk membenarkan satu usul dibahas pada Khamis ini memandangkan isu melibatkan data peribadi adalah perkara penting.

“Saya akan jawab semua soalan di Dewan Negara, tiada isu bagi saya. Tidak ada apa-apa disembunyikan.

“Mereka yang tidak tahu tentang benda ni mungkin tidak baca sepenuhnya dan terus bangkitkan isu yang sama. Saya faham ini isu penting melibatkan data peribadi dan sebagainya lebih baik saya jawab dalam Dewan Negara,” katanya.

Khairy sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa pelantikan KPISoft Malaysia Sdn Bhd (syarikat pembangun aplikasi MySejahtera) dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 2019.

Beliau difahamkan beberapa syarikat telah dijemput untuk membuat pembentangan dan MKN memilih syarikat tersebut yang kini dijenamakan sebagai Entomo Malaysia Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai KPISoft Malaysia Sdn Bhd).

Katanya Entomo kemudian telah memberi lesen kepada syarikat MySejahtera ataupun MySJ Sdn Bhd.

Baca: Kerajaan miliki sepenuhnya aplikasi MySejahtera, kerahsiaan data terjamin

“Jadi kita berunding dengan syarikat yang sudah beri perkhidmatan sejak awal lagi dan ia masih dalam proses rundingan untuk sambungan, sebab mereka telah bangunkan platform tersebut.

“Soal pelantikan asalnya dibuat oleh MKN, sekarang ini saya dalam proses untuk membawa perkara ini dijadikan sebagai kontrak rasmi, itu yang saya sedang buat,” katanya.

Media hari ini melaporkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan meminta kerajaan menjelaskan dakwaan penglibatan MySJ Sdn Bhd dalam pengambilalihan aplikasi MySejahtera.

Mohamad berkata walaupun MySejahtera adalah aplikasi yang membantu dan bermanfaat, dakwaan pelantikan entiti persendirian, MySJ sebagai syarikat yang akan menguruskan aplikasi MySejahtera untuk fasa seterusnya adalah sesuatu yang membimbangkan.

Antara perkara dibangkitkan adalah mengenai pelantikan MySJ melalui mekanisme rundingan terus dan bukannya melalui tender terbuka.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Anggota MALBATT 850-13 bertugas di Selatan Lubnan selamat – ATM

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa seluruh anggota MALBATT 850-13 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan...

More Articles Like This