PENYANYI Syafiq Farhain mengakui dirinya sudah bernikah dan bakal menyambut Aidilfitri tahun ini bersama isteri tercinta.
Syafiq memaklumkan sudah berkahwin dengan pengurusnya di Terengganu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
Enggan mendedahkan tarikh berlangsungnya pernikahan, Syafiq, ataupun Nursyafiq Farhain bin A.M Salim, 28, turut menyatakan bahawa dia masih dalam perancangan untuk mengadakan majlis resepsi.
“Sepatutnya majlis (resepsi) ini sudah lama berlangsung namun keadaan tidak mengizinkan ditambah lagi dengan pandemik Covid-19 dan sebagainya.

“Saya pada mulanya bercadang untuk mengumumkan perkahwinan saya pada majlis itulah, tapi nampaknya tak berjaya,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan MVM dan Rusa Music di Puchong, semalam.
Syafiq juga menafikan dakwaan bahawa tindakan merahsiakan perkahwinannya itu kerana bimbang popularitinya akan merudum.
Walau bagaimanapun, Syafiq mengakui perkara tersebut akan memberi kesan kepada kerjaya seninya.
“Saya tak pernah terfikir mengenai kesan kepada populariti dan tak ada niat pun nak sorokkan berita perkahwinan saya bersama isteri.
“Siapa yang tahu tu tahu lah. Siapa yang bertanya, saya akan jawab dengan jujur.” kata pelantun lagu Sakit Hati itu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan raya tahun ini, Syafiq, yang juga merupakan anak kepada penyanyi legenda Allahyarham Saleem menyatakan bahawa sambutan Aidilfitri kali ini lebih meriah kerana dia akan beraya bersama isteri.
“Selalunya saya sambut raya bersendirian tapi tahun ini, Alhamdulillah dapat sambut berdua.
“Insya-Allah raya tahun ni lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya.” katanya kepada URTV.

