TAN SRI Muhyiddin Yassin berkata, suasana Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang kembali boleh disambut seperti sebelum COVID-19 adalah hasil pendekatan drastik kerajaan dari awal bermula wabak tersebut.
Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, selain itu komitmen dan disiplin jitu rakyat telah membolehkan perkara ini dikecapi.
“Pelbagai bentuk insiatif pemulihan negara juga sedang giat dilaksanakan bagi membolehkan rakyat keluar dari belenggu pandemik seterusnya kembali menjalani kehidupan biasa.
“Antaranya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap sekali gus membuka jalan untuk negara memasuki fasa endemik,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam ucapan Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan di Facebook beliau malam ini.
Ahli Parlimen Pagaoh itu pada masa sama turut menasihati individu yang mahu pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati di jalan raya.
“Kepada yang merancang untuk bergerak pulang malam ini ataupun esok pagi ataupun yang sedang memandu ketika ini sentiasa berdisiplin dan patuh kepada peraturan jalan raya serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Kalau rasa penat berhenti dan berehat seketika ataupun bergilir memandu dengan ahli keluarga yang lain. Saya doakan saudara-saudari dilindungi Allah SWT,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang tidak pernah merasa jemu bertugas termasuklah pada musim perayaan bagi memastikan keselamatan negara.
“Saya, isteri dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh umat islam tidak kira di mana jua anda berada,” katanya.

