Dua bot fiber disyaki menangkap siput secara haram di dua lokasi berbeza pada kedudukan kira-kira satu batu nautika dari barat daya pantai Sungai Padang semalam. -Gambar Bernama


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menahan dua bot fiber disyaki menangkap siput secara haram di dua lokasi berbeza  pada kedudukan kira-kira satu batu nautika dari barat daya pantai Sungai Padang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, APMM menahan bot tersebut ketika rondaan rutin Op Aman dan Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan negeri Perlis bagi mencegah sebarang penyeludupan dan jenayah maritim.

“Dua tangkapan tersebut membabitkan dua tekong dan dua kru warga tempatan berusia 18 hingga 48 tahun pada pukul 11.15 dan 11.30 pagi semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati, sebuah daripada bot fiber itu tidak memiliki nombor pendaftaran manakala sebuah lagi bernombor pendaftaran PSS 1173. 

“Kedua-dua bot yang  berpengkalan di Kuala Perlis itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan antara kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan vesel tersebut dan Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan melibatkan dua bot, enjin, sangkar besi dan siput jenis kerang seberat 25 kilogram itu dianggarkan bernilai RM11,100.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram