Penyatuan Melayu: Laluan berliku, tapi jangan sesekali berhenti

Dari Penulis

SEMALAM, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjadi peserta pertama yang berucap pada Sidang Penyatuan Bangsa anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Peluang itu sudah tentu diberi atas kapasitinya sebagai wakil kepada parti politik terbesar negara dan bukan kerana Ahmad secara peribadi mahu pun beliau sebagai Ahli Parlimen Pontian.

Walaupun tema sidang itu penyatuan bangsa, Ahmad ketika mengulas peserta lain telah menggunakan kata-kata ‘antara turut hadir ialah bekas ahli UMNO’ – merujuk kepada Datuk Seri Mukhriz Mahatir yang berada tidak jauh dengannya.

Sudah tentu ada seribu beban ditanggung buat pemimpin UMNO yang memilih kekal di dalam parti itu selepas 9 Mei 2018.

Maka, apabila ada ruang melepas geram, mereka akan gunakan apatah lagi Ahmad memang terkenal dengan kenyataan-kenyataan tularnya termasuklah yang berbentuk sindiran politik.

Bila tiba giliran Mukhriz pula, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu tidak membalas secara langsung sebaliknya memilih cara merendah diri.

Mungkin Mukhriz menyedari kedudukan Pejuang berbanding UMNO yang mana Ahmad sebelum ini melahirkan keyakinan agenda bumiputera akan terus berada di tempatnya apabila UMNO kembali menerajui kerajaan selepas PRU-15.

Namun Mukhriz juga seakan memulangkan paku buah keras, mengingatkan orang Melayu juga perlu mengutamakan integriti dan urus tadbir baik- isu yang terpalit pada UMNO sehingga menjadi salah satu faktor tewas pada PRU lalu.

Malah, Ahmad sendiri turut pernah berdepan pendakwaan di mahkamah sebelum dilepas dan dibebas kemudian.

Itu baru wakil dua parti hadir, jika diikutkan ada sembilan parti politik yang berteraskan Melayu atau setidak-tidaknya diterajui pemimpin Melayu dijemput.

Kalau semua hadir, entah-entah jadi medan berbalas sindiran.

Tan Sri Syed Hamid Albar memberi pandangan dalam Sidang Penyatuan Bangsa semalam. Di sebelah (kiri), Tan Sri Musa Hasan dan Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah manakala (kanan) Tan Sri Mohd Yussof Latiff (Tokoh masyarakat yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ternyata sangat sukar pemimpin politik untuk merendahkan ego walaupun pada sidang itu yang dianjurkan bagi mencari jalan keluar kepada permasalahan perpecahan orang Melayu.

Sikap orang politik dalam bab ini bukan asing dan seperti kata Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, “parti-parti politik Melayu kini bersepah”.

Bersepah kata Dr Ibrahim, kerana mereka tidak ada rasa insaf untuk bersatu dan merasakan hanya parti mereka sahaja yang betul.

“Kalau tak mahu juga bersatu, saya tidak tahu. Saya pasrah tetapi saya tak akan putus asa (perpaduan Melayu),” ujar bekas Naib Canselor UiTM itu yang pernah bertemu pimpinan dari pelbagai parti Melayu bagi menggerakkan penyatuan bangsa.

Justeru, sidang semalam yang dihadiri ramai tokoh besar serta pemimpin NGO (selain Ahmad dan Mukhriz) itu bukan klise, juga bukan retorik.

Baca: Seruan penyatuan bangsa bergema pada sidang MPM

Ketetapan untuk tindakan menyatukan bangsa

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hadir pada Sidang Penyatuan Bangsa anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sebaliknya, MPM menyedari daulah atau kekuasaan bangsa tidak akan tercapai selagi Melayu sendiri berpecah belah.

Penyatuan bangsa juga menjadi jihad nombor 1 MPM kerana jihad lain untuk orang Melayu hanya boleh dicapai apabila penyatuan berlaku.

Penyatuan akan menjadikan Melayu kuat, kata Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad ketika berucap sebelum mengakhiri sidang itu semalam.

Justeru, seruan dan inisiatif menyatukan bangsa tidak seharusnya terhenti malah perlu terus disuburkan dari semasa ke semasa.

Bukan hanya setiap kali selepas PRU, tetapi selama-lamanya perlu dingatkan kepentingan ini.

Sebahagian daripada tokoh-tokoh termasuk pemimpin pelbagai parti politik, cendiakawan dan NGO melayu yang hadir pada Sidang Penyatuan Bangsa anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Orang Melayu sendiri mewarisi banyak kata pedoman menerusi simpulan bahasa dan peribahasa mengenai pentingnya penyatuan.

Maka, tugas generasi kini seperti dilakukan MPM semalam adalah mengulangi seruan penyatuan bangsa. Apatah lagi pertubuhan itu sebagai barisan hadapan dalam memelihara kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Apa pun, mesej penyatuan itu memang dirasai dalam sidang semalam, sangat dirasai.

Ketetapan menggerakan penyatuan sudah dibuat oleh para peserta termasuk nama-nama besar bergelar Tun dan Tan Sri.

Namun pimpinan politik Melayu mungkin ada pendirian sendiri kerana kiraan mereka adalah pada kerusi.

Bagaimanapun, Tan Sri Musa Hasan yang berucap pada hujung sidang sempat melontarkan teguran kepada pimpinan politik Melayu dalam bab ini.

Kata bekas Ketua Polis Negara itu, orang politik perlu berhenti menyakiti hati lawan apabila bercakap.

Nampak ringkas teguran Musa itu, tetapi kesannya besar. Kerana kata nista dan sindiran pemimpin lah menjadi ikutan di bawah sehingga umat Melayu berpecah belah sama ada di kedai kopi mahu pun di tangga surau.

Jika sukar menyatukan parti politik di pentas pilihan raya, pimpinan boleh mulakan dengan menjaga mulut masing-masing.

Itu pun sumbangan bermakna ke arah penyatuan bangsa.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Anda tak nak duduk semeja dengan DAP, teruskan keangkuhan kamu’ – Loke

DAP menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk tidak bekerjasama dengannya jika diberi mandat semula membentuk kerajaan negeri pada...

More Articles Like This