PENYANYI tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza hairan dengan segelintir masyarakat di luar sana yang mempertikaikan dirinya dipilih untuk dipaparkan di papan digital New York Times Square di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Ramai saja artis sebelum ini sudah keluar (di digital billboard), bila ‘time’ saya saja kenapa nak usik pula,” ujarnya memetik Harian Metro.
Menurut Siti, 43, mereka yang mempersoalkan perkara berkenaan harus berurusan dengan pihak yang memilihnya iaitu Spotify sebelum mengeluarkan sebarang pernyataan atau komentar.
“Kalau boleh minta dulu penjelasan daripada pihak berkaitan (Spotify) barulah boleh komen. Kadang-kadang tersalah komen itu yang jadi tak syok,” katanya lagi.
Penyanyi nombor satu negara itu dipilih oleh aplikasi penstriman digital, Spotify bagi mewakili negara dalam kempel EQUAL yang sedang berlangsung.
Pertikaian itu juga menjadi bualan hangat pengguna Twitter hingga saling berbalas ciapan termasuk peminat Siti.
Perkara ini telah menjadi tajuk hangat yang dibualkan oleh warga Twitter yang turut melibatkan peminat penyanyi tersebut.
Ada juga sesetengah pihak yang tampil memberikan nasihat kepada Siti agar peminatnya tidak bertindak agresif dalam memberi komen dan ciapan di laman sosial itu.
“Saya tak nak jadi budak-budak. Apa yang ditulis di Twitter bukan mewakili diri saya pun. Kadang-kadang bukan mewakili peminat saya pun. Orang saja anggap.
“Sepatutnya muzik menyatukan. Betullah, itu yang sebenarnya. Sebab muzik ini sangat universal dan istimewa. Bayangkan saya ke luar negara, mereka tak faham bahasa saya, tapi mereka boleh hargai.
“Itu sepatutnya kena saling menghargai. Itu juga saya cuba terapkan dalam setiap persembahan lagu-lagu saya,” katanya.
Untuk rekod, sebelum Siti terdapat lagi empat orang artis tempatan yang berjaya menghiasi papan iklan digital di Times Square antaranya Yuna, Layla Sania, kumpulan Dolla dan juga Iman Troye.

