SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu berkenaan peningkatan tarif baharu elektrik di platform digital iaitu Facebook, Threads, dan Whatsapp.
Menurut MCMC, maklumat palsu itu juga dipercayai menyalahguna elemen reka grafik sebuah agensi berita.
MCMC memaklumkan, menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkenaan peningkatan tarif elektrik adalah bersifat palsu dan boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik kepada masyarakat.
“Hasil semakan mendapati bahawa kandungan tersebut telah disunting daripada kandungan rasmi Astro AWANI.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” jelas MCMC dalam kenyataan.
MCMC menegaskan, agensi itu memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
MCMC memberitahu, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
Tambah MCMC, orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

