SINDIKET jenayah penipuan tak kira apa jenis scam baik Macau Scam, Love Scam dan sebagainya memerlukan khidmat keldai akaun dalam modus operandi mereka.
Dengan adanya ‘keldai-keldai’ ini menyewakan akaun mereka, maka lebih mudah sindiket penipuan melakukan kerja jahat menipu orang ramai.
Keldai-keldai ini pula hanya dibayar RM100 hingga RM600 sedangkan mangsa penipuan ada yang rugi puluhan ribu ringgit malah ratusan ribu ringgit pun ada ditipu sindiket.
Mungkin sebab itu mereka yang tidak berfikir panjang menyewakan akaun kepada penjenayah dinamakan keldai – haiwan yang sering dirujuk kerana sifatnya.
Bagaimanapun, keldai akaun jangan fikir boleh terlepas kerana ‘kerjasama’ mereka dengan sindiket penipuan tetap satu jenayah walaupun rata-ratanya tidak kenal penjenayah yang mengupah mereka.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mereka yang bertindak sebagai keldai akaun boleh didakwa di bawah Seksyen 420 dan 424 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan menipu dan bersubahat.
Untuk rekod, Seksyen 424 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Katanya, setakat enam bulan pertama tahun ini, seramai 1,364 individu termasuk 436 wanita ditahan di Selangor kerana disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian atau scam.
Baca: Warga emas rugi RM652,500 ditipu Macau Scam
“Polis tidak akan telefon dan minta nombor akaun, PIN dan sebagainya” – Ketua Polis Negara
“Majoriti keldai akaun itu didapati menyedari tindakan mereka adalah menyalahi undang-undang. Kesemua individu itu ditahan kerana dengan pengetahuan membenarkan akaun bank dan kata laluan mereka digunakan untuk jenayah penipuan wang terhadap orang lain.
“Mereka mungkin terpengaruh dengan imbuhan ditawarkan antara RM100 hingga RM600 untuk setiap kali sewaan akaun,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Polis Selangor di Taman Penggawa, di Kuala Selangor hari ini.
Jelas Arjunaidi, 60 peratus daripada suspek telah didakwa di mahkamah atas beberapa kesalahan terutamanya membenarkan akaun bank mereka digunakan bagi aktiviti jenayah.
“Sindiket itu rata-ratanya menggunakan taktik mencari keldai akaun di media sosial dan sebahagian besar individu itu tidak mengenali penjenayah yang menjalankan kegiatan haram berkenaan,” katanya.
Arjunaidi turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mendedahkan nombor akaun bank bagi sewaan akaun serta tidak termakan dengan janji serta tawaran manis daripada individu yang tidak dikenali.

