Sultan Selangor. Sultan Sharafuddin Idris Shah./Gambar BERNAMA

FILEM Mat Kilau memang satu fenomena ketika ini, di mana-mana orang memperkatakan tentang karya terbitan Studio Kembara itu.

Bukan sahaja dalam kalangan orang biasa, malah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut tidak terkecuali memperkatakan mesej filem berkenaan setelah menonton filem tersebut.

Selain elemen silat, filem tersebut juga meninggalkan kesan mendalam kepada penonton apabila jalan ceritanya sarat dengan pengajaran betapa pentingnya untuk orang Melayu bersatu selain sentiasa menjunjung tinggi ajaran Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sultan Selangor bertitah, filem Mat Kilau telah memaparkan bagaimana perpecahan boleh mengakibatkan pihak-pihak luar mudah menguasai orang Melayu.

Titah Sultan Sharafuddin, jika dihayati dialog filem tersebut, ia bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.

“Beta menggalakkan masyarakat negara ini terutama orang Melayu untuk menonton filem ini agar ia boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran kepada kita semua bahawa sesebuah tamaddun dan negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu padu dan bekerjasama di dalam mempertahankannya,” titah Sultan Sharafuddin.

Baca: Semalam RM39.2 juta, hari ini filem Mat Kilau catat rekod RM47 juta!

Penangan Mat Kilau, jualan tanjak dan permintaan kelas silat meningkat

Sultan Selangor dalam kenyataan itu bertitah yang baginda memandang serius terhadap gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik Melayu.

“Beta melihat perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang begitu ketara sekarang boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara kita.

“Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara.

“Walaubagaimana pun Beta berasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan,” titah baginda.

Baginda bertitah, ianya adalah bagi menjamin agar kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini.

“Pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.

“Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu dan sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu.

“Di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum,” titah baginda.

Di samping itu, Sultan Sharafuddin turut menyentuh gejala fitnah-memfitnah yang berlaku dengan berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Titah baginda, penyebaran berita-berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu telah mengugat keharmonian masyarakat di negara ini.

“Semua pengkhianatan serta kebencian yang dilahirkan secara terbuka ini seolah-olah sudah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat kita.

“Kita perlu sedar bahawa fitnah boleh mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan Allah SWT,” titah baginda.

Baca: Penyatuan Melayu: Laluan berliku, tapi jangan sesekali berhenti

Seruan penyatuan bangsa bergema pada sidang MPM

Titah Sultan Selangor, agama Islam sendiri menggalakkan manusia untuk berdamai dan bersatu-padu dan melarang umatnya berpecah serta bermusuhan sebagaimana firman Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 103.

“Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai… Oleh itu Beta mengajak semua pemimpin politik dan rakyat di negara ini kepada kebaikan dan mengamalkan budaya sihat yang berpandukan kepada sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran Negara.

“Beta menyeru agar kita bersama-sama membangunkan sebuah masyarakat yang gagah, bebas dari rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan kemanusiaan sejagat.

“Semoga Allah SWT memelihara negara dan kita semua,” titah Sultan Sharafuddin.