PERKONGSIAN selebriti Mizz Nina di media sosial seolah memberi bayangan dirinya sedang berdepan dugaan besar dalam hidup telah meraih perhatian orang ramai.
Sebelum ini tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba kecoh hubungan rumah tangganya dengan penyanyi Noh Salleh sedang bergolak.
“Sesetengah perkara mungkin kelihatan sungguh sukar untuk dilalui dalam hidup. Semua aspek seperti berhijrah, berdepan dengan kesusahan, sedih kerana kehilangan, bergaduh, mencari kerja, bercerai atau apa situasi sekali pun mungkin nampak sukar namun ganjarannya begitu indah.
ARTIKEL BERKAITAN: Nafi hubungan rumah tangga bermasalah, Noh Salleh cakap korang semua kena tipu!
“Sama seperti mengambil ubat, tiada siapa yang suka kerana pahit namun perlu diambil kerana baik untuk kita. Dalam pada itu, anda juga mungkin menyayangi dan mencintai sesuatu, namun tidak menyedari impaknya sama ada tidak baik atau negatif.
“Berkemungkinan akan memberi kesan tidak baik namun anda menyayanginya kerana memberikan ketenangan, keterujaan dan kenyamanan. Namun, mungkin juga menyebabkan anda tidak memperoleh ganjaran atau kebaikan pada masa akan datang.
“Membuat kebaikan mungkin kurang digemari atau disukai kerana sukar untuk dilakukan, berbeza dengan keburukan yang lebih memberi keselesaan dan kenyamanan,” luahnya.
Seakan reda dan menganggap apa yang berlaku dalam hidupnya ketika ini ada hikmah, Mizz Nina menyerahkan semuanya kepada Allah selain mengharapkan yang baik-baik.
“Sesungguhnya, hanya Allah SWT yang mengetahui apa yang terbaik dan kurang baik buat diri anda. Jadi, terima segala yang tertulis buat anda tidak kira sama ada anda melihat hikmah disebaliknya atau tidak.
“Satu hari nanti, anda pasti akan mengenang kembali dan bersyukur di atas apa ketentuan Allah buat anda. Walaupun mungkin bergenang air mata, tetapkan dalam hati bahawa Allah SWT lebih mengetahui,” tulisnya.
Menjengah keruangan komen, rata-rata peminatnya mendoakan yang terbaik dan berharap semua masalahnya dapat diselesaikan.
Menerusi laporan URTV sebelum ini, Noh menafikan dakwaan rumah tangganya sedang berdepan masalah.
Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Julai 2011.

