Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat keempat Majlis Air Negara (MAN), hari ini.

KEMENTERIAN dan agensi berkaitan telah diarahkan untuk meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat.

Ia termasuk bagi kegunaan di kawasan pedalaman, pengairan tanaman serta sistem kumbahan.

Perkara tersebut ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan mesyuarat keempat Majlis Air Negara (MAN), hari ini.

Mesyuarat berkenaan dihadiri menteri-menteri Persekutuan; menteri-menteri besar; ketua-ketua menteri; Ketua Setiausaha Negara; Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan ketua-ketua jabatan serta agensi berkaitan.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan menyediakan peruntukan besar sebanyak RM393 bilion untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim secara berfasa selama 50 tahun.

Daripada jumlah itu, kata beliau, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai tahun depan hingga 2030.

“Penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati ini perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baharu seperti mana yang telah dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat.

Baca artikel berkaitan: Hanya 33 peratus tanah lapang awam diwartakan – PM

“Penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang daripada tiga peratus berbanding negara lain walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan juga bercadang membina lebih banyak ‘struktur sabo’ di seluruh negara.

Katanya, pembinaan struktur itu dalam usaha mengurangkan risiko banjir puing seperti mana yang berlaku di Baling, Kedah, baru-baru ini.

“Struktur sabo dibina merentasi alur sungai, berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutama selepas hujan lebat.

“Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram