Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan sesi turun padang ke premis pemborong di Sibu, Sarawak. GAMBAR: Facebook Alexander Nanta Linggi

HARGA jualan minyak masak botol terutama lima kilogram (kg) di peringkat peruncit mula merekodkan penyusutan sebanyak 13 peratus kepada RM39 berbanding RM45 bulan lalu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi selepas sesi turun padang ke premis pemborong di Sibu, Sarawak.

Menurut Alexander, penyusutan harga jualan minyak masak botol itu dicatatkan susulan penurunan harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran sehingga mencecah paras RM3,814 satu tan, semalam.

Beliau berkata, kali terakhir CPO berada di paras rendah adalah pada Julai 2021 manakala kadar tertinggi menjangkau RM8,076 pada Mac tahun ini.

Alexander memaklumkan, pengurangan harga sebanyak 13 peratus itu hanya permulaan memandangkan unjuran pasaran menunjukkan pola penyusutan harga berikutan kesan CPO akan terus berlaku.

“Mengikut simulasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini, kadar CPO semasa sepatutnya menyebabkan harga minyak masak botol 5kg di peringkat peruncit sekitar RM30.65.

“Bagaimanapun, reflection atau kesan langsung daripada pola penurunan harga CPO dilihat berlaku amat perlahan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Harga minyak masak botol dijangka turun masa terdekat

Sehubungan itu, Alexander berkata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memberi penegasan kepada industri supaya sebarang penyusutan harga CPO wajar memberi kesan langsung kepada harga minyak masak botol di peringkat peruncit.

Alexander menegaskan supaya tiada pihak yang cuba melengahkan perubahan harga mengikut CPO dengan alasan mahu menghabiskan bekalan stok lama.

Jelas beliau, KPDNHEP akan terus mengadakan libat urus selain menjalin kerjasama dengan pihak, kementerian dan agensi berkaitan demi memastikan hak pengguna terjaga serta mengimbangi kepentingan industri.

“Berdasarkan libat urus bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, saya dimaklumkan bahawa usaha menukar penetapan harga pembelian buah tandan segar (BTS) mengikut mingguan berbanding bulanan ketika ini giat dijalankan.

“Menerusi usaha ini, sebarang kesan langsung harga dapat dilihat dalam purata seminggu hingga seminggu setengah berbanding dua hingga dua bulan setengah sekarang,” jelas beliau.

Rabu lalu, Alexander dilaporkan berkata, harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat selari dengan penurunan harga minyak masak mentah dari RM7,000 per tan kepada RM3,600 per tan minggu ini.

Katanya, strategi dalam menangani inflasi dan kos sara hidup yang dilaksanakan dengan bekerjasama erat bersama Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi juga telah menampakkan hasil terutama berkaitan isu ayam dan telur.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram