SEORANG penjual ikan berusia 18 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu terbabas di Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kemalangan pada pukul 2.45 pagi itu melibatkan sebuah Toyota Hilux yang dipandu mangsa, Honda HRV dan Honda CRZ.

Katanya, mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Jalan Kuching sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Kenderaan mangsa kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh Honda HRV dan Honda CRZ yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, remaja itu mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian.

“Pemandu Honda HRV berusia 32 tahun turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan, manakala pemandu Honda CRZ tidak mengalami sebarang kecederaan,” tambahnya.

Azmi berkata, ketika kejadian tiada lesen memandu diperoleh daripada mangsa.

“Bagaimanapun, polis akan membuat semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi mendapatkan butiran mangsa,” katanya.

Jelasnya, kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca artikel berkaitan : Remaja maut motosikal langgar Mercedes-Benz

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram