RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti atau atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ perlu diluluskan dengan tuntas dan disokong oleh semua pihak.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, parti itu akan menyokong RUU tersebut seperti yang telah diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO 2021.
“Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 14 April lalu berpendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati.
“Alhamdulillah seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri Undang-Undang Datuk Seri Wan Junaidi pada awal bulan ini, RUU Anti Lompat Parti akan dibentang pada sesi Parlimen yang sedang berlangsung.
“Perkara ini menjadi realiti dengan bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO memberitahu, kerajaan telah mengadakan pelbagai sesi libat urus tentang RUU tersebut dan merangka RUU ini selama setahun.
Menurutnya, ini bagi mendapat maklumbalas dan persetujuan selepas musyawarah dan perincian secara mendalam antara parti-parti politik dan masyarakat awam.
“Tidak ada alasan untuk mana-mana Ahli Parlimen atau parti politik menolak RUU ini. Akta ini perlu diluluskan dengan tuntas dan disokong oleh semua pihak,” katanya.
Pindaan itu hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang dari dua pertiga atau minimum 148 Ahli Majlis Parlimen
Seramai 41 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada perbahasan rang undang-undang itu.

