HARI ini genap setahun pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin jika mengikut kalendar Islam. Dari saat itu, tidak pernah sekali pun pelawak Shuib Sepahtu melupakan isterinya yang tercinta.

Malah, tanggal 9 ogos yang merupakan hari pemergian penyanyi Kesetiaan itu, Shuib akui sudah reda namun sukar untuk membuang perasaan sedih dalam hatinya tatkala teringatkan arwah.

“Saya reda, cuma rindu yang sangat unik. Kadang-kadang, saya tak tahu nak cakap macam mana. Perubahan perasaan setiap hari tidak sama.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Al-Fatihah, Siti Sarah meninggal dunia

Saya berikan satu contoh. Pernah tak teringat sesuatu perkara tanpa gagal, setiap hari? Saya melaluinya setiap hari dalam masa setahun ini.

“Tiada satu hari pun saya tidak ingat atau memikirkan arwah. Saya akan selalu bersedih, tetapi Insya-Allah, saya reda dengan ketentuan ini. Saya bersyukur segala yang Allah beri dan aturkan untuk saya.

“Dengan apa yang dilalui, saya yakin Allah mahu berikan lebih baik untuk saya dan anak-anak, Insya-Allah,” katanya memetik Berita Harian.

Sementara itu, Shuib memberitahu arwah isterinya itu tidak pernah hadir dalam mimpinya namun sebaliknya anak-anak pernah bermimpikan ibu mereka.

“Saya sangat berharap dapat bertemu arwah dalam mimpi. Setahu saya, anak-anak, Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin pernah bermimpikan arwah.

“Cuma, saya dan bapa mentua belum lagi. Saya hanya pernah bermimpi saya mencari-cari arwah, tetapi tidak berjumpa.

“Mimpi dapat melihatnya depan mata, belum lagi hadir. Saya berharap sangat dapat mimpikan arwah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shuib turut berkongsi di Instagram mengenai setahun pemergian arwah isterinya.

“Salam Jumaat. Genap setahun. Al-Fatihah buat Siti Sarah Raissuddin. Bidadari syurga,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada pukul 5.13 pagi, tahun lalu.

Arwah Siti Sarah meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 1.