Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) serta semua pemegang taruh akan meneliti laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) secara terperinci.

Pada masa sama, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan, kesemua syor yang dikemukakan PAC juga akan diambil kira dalam meneruskan projek LCS selepas ini.

Beliau berkata, MINDEF telah memberi kerjasama penuh dan sentiasa telus semasa menghadiri prosiding serta proses siasatan dilakukan PAC.

“Seperti dimaklumkan April lalu, Kabinet juga telah bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak OEM dan vendor.

“Seterusnya, pelan tersebut akan dimuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti dimahukan serta diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: ATM bina jambatan Bailey di Baling – Hishammuddin

Mengulas lanjut, Hishammuddin turut memaklumkan, kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha MINDEF.

Katanya, jawatankuasa tersebut ditugaskan memantau secara dekat terutama proses mobilisasi dalam tempoh enam bulan dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet.

Berhubung kelemahan dan penyelewengan, Hishammuddin juga konsisten menegaskan bahawa sesiapa yang bersalah tetap bersalah.

Namun begitu, katanya, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih sedang berjalan dan ini bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini tidak akan terlepas begitu sahaja.

“PAC sendiri telah mengesyorkan supaya SPRM mempercepat siasatan dan menyegerakan pendakwaan. Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Melangkah ke hadapan, perkara paling penting sekarang ialah untuk memastikan projek LCS ini dapat diteruskan dengan lancar.

“Ia adalah aset yang amat diperlukan demi keselamatan perairan negara sejajar dengan Program Transformasi Armada 15 to 5 dan demi kepentingan TLDM,” jelas beliau.

PAC dalam laporannya memaklumkan kajian daya maju yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) untuk pembinaan lima kapal LCS gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram