Sebahagian daripada orang ramai mengambil peluang memilih sayur-sayuran yang dijual dengan harga murah ketika Pelancaran Jualan Keluarga Malaysia di Pantai Dalam, Disember tahun lalu. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

PROGRAM Jualan Murah Keluarga Malaysia akan mula dilaksanakan pada 19 Ogos ini, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pasukan khas itu dalam mesyuarat hari ini telah membincangkan dan memperincikan modus operandi serta menyelaraskan bagaimana ia dapat dilakukan oleh kesemua lima kementerian yang terlibat dengan program jualan itu.

Menurutnya, Suruhanjaya Koperasi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dijangka dapat memulakan rollout penjualan produk-produk tertentu dengan harga lebih murah pada tarikh yang sama.

“Beberapa barangan telahpun dikenal pasti oleh Suruhanjaya Koperasi dalam pembentangan mereka termasuklah ayam, minyak, gula.

“Ada lima atau enam barangan yang mereka telah berikan indikasi harga kepada jawatankuasa (pasukan khas) dengan kesemua barangan itu telah dijamin akan dijual antara 10 ke 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran sekarang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen hari ini.

Pada 21 Julai lepas, Annuar berkata program jualan itu yang memberi akses kepada rakyat mendapatkan barangan lebih murah setiap minggu, akan diadakan selama 18 minggu sehingga akhir tahun ini di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Baca artikel berkaitan: Belum ada bukti minyak masak terapung di Indonesia dari Malaysia – Annuar

Annuar berkata Suruhanjaya Koperasi yang membentangkan cadangan mereka dalam mesyuarat hari ini memaklumkan kewujudan rangkaian koperasi seluruh negara serta kapasiti anggota gabungan koperasi yang akan turut terlibat sama dalam memproses, membungkus dan mengedarkan barangan tertentu.

Beliau berkata penglibatan dan langkah Suruhanjaya Koperasi dalam program itu memberi peluang kepada mereka mengimport barangan tertentu termasuk gula dan memberikan kebenaran kepada koperasi melakukan pembungkusan gula runcit yang ketika ini hanya diberikan kepada dua syarikat sahaja.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pengimport gula pada masa ini hanya untuk kegunaan industri yang spesifik tetapi tidak boleh untuk dibungkus dan dijual secara runcit.

“Jadi ini kali pertama kita memberikan kebenaran kepada koperasi untuk terlibat dalam kegiatan membungkus dan seterusnya menggunakan network koperasi untuk menjual secara retail dengan syarat pada harga yang lebih murah daripada harga yang sedang dijual sekarang. Itu khusus bagi gula,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram