DEMI menentang UMNO – sebuah parti yang dipimpin beliau selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Melayu (Bersatu) pada 2016.
Apabila berlaku kemelut politik selepas 22 bulan Bersatu menjadi kerajaan menerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir membentuk pula Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Seperti mana UMNO dan Bersatu, Pejuang yang dipimpinnya sebagai Pengerusi juga sebuah parti berteraskan Melayu.
Bagi mengukuhkan langkah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Dr Mahathir mengumumkan pula penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) iaitu sebuah gabungan parti-parti politik Melayu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menjawab kritikan sesetengah pihak termasuk pemimpin PH kenapa beliau masih meneruskan perjalanan politik dalam kerangka parti berteraskan Melayu, jawapan Dr Mahathir mudah.
“Untuk melawan UMNO, jika kita bukan parti Melayu orang Melayu tidak akan sokong,” kata Pengerusi Pejuang itu seakan menjawab respons tokoh agung DAP, Lim Kit Siang ke atasnya.
Katanya, maka sebab itu ditubuhkan parti Melayu untuk bersaing dengan parti Melayu UMNO yang menyeleweng.
“Dalam pilihan raya, kita sebagai Gerakan Tanah Air akan menentang UMNO dan kita harap mendapat sokongan daripada rakyat, bukan kerana mereka ahli parti sebaliknya sebagai orang Melayu yang sedar dan curiga dengan masa depan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Kelmarin, Kit Siang dilaporkan menyifatkan Dr Mahathir mengambil langkah ke belakang kerana menubuhkan gerakan politik Melayu menerusi GTA.
Baca: Tun M umum Gerakan Tanah Air, gabungan politik baharu berlandas Melayu
Sementara itu, menurut Dr Mahathir, GTA ini tidak bersifat perkauman tetapi usaha gerakan ini tertumpu untuk lawan sebuah parti Melayu yang telahpun menyeleweng iaitu UMNO.
“Gerakan Tanah Air diadakan sebagai tempat orang Melayu tentukan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi dan bersama mendapat tempat mereka dalam negara berbilang kaum ini.
“Gerakan Tanah Air ini bukan untuk rampas harta orang bukan Melayu, bukan untuk sekat orang Melayu berusaha mendapat kekayaan.
“Sebaliknya kita berusaha untuk perbetulkan kedudukan orang Melayu supaya mereka juga akan dapat bahagian di dalam negara kita ini,” jelasnya.
Kata Dr Mahathir, inilah sebabnya GTA ditubuhkan.
“Kita jemput semua orang Melayu yang berasa curiga tentang masa depan mereka menyertai kita ataupun sekurang-kurangnya menyokong perjuangan kita dalam pilihanraya akan datang.
“PRU-15 nanti kita akan bertanding sebagai satu gerakan dan akan letak calon-calon daripada parti politik, NGO, individu tertentu, golongan profesional dan akademik,” ujarnya.

