KES seorang pengawal keselamatan yang dipukul dan ditetak tiga lelaki di kawasan tapak projek perumahan Seira 4, Sungai Petani, Khamis lalu tidak melibatkan kumpulan kongsi gelap.
Sebaliknya, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian berkenaan berpunca daripada teguran diberikan mangsa, Allahyarham Ismail Ahmad, 58, dan salah faham antaranya dengan suspek.
Menurut beliau, siasatan mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada teguran mangsa terhadap salah seorang suspek yang menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan tapak projek berkenaan.
Wan Hassan berkata, polis telah berjaya menangkap dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
“Salah seorang daripada suspek tersebut juga didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia, semalam pada pukul 5.30 petang di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Baca artikel berkaitan: Empat hari ‘tanggung derita’, pesara tentera parah ditetak meninggal dunia
“Siasatan pada awalnya dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan telah diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ismail menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) setelah empat hari menerima rawatan akibat ditetak dengan pedang, Khamis lalu.
Pesara tentera yang bertugas sebagai pengawal keselamatan itu dimasukkan ke hospital akibat cedera parah di kepala dan tangan kiri.
Mengulas lanjut, Wan Hassan memaklumkan, seorang suspek telah pun dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini dan telah ditahan di Penjara Alor Setar, Kedah.
Kata beliau, seorang lagi suspek pula diletakkan di bawah jaminan bon mahkamah sebagai saksi pendakwaan.
“Polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai boleh membantu siasatan atas kejadian tersebut.
“Polis menyeru dan menasihati orang ramai supaya tidak membuat atau menularkan sebarang spekulasi atas kejadian ini sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan menimbulkan bangkitan marah kepada masyarakat,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

