KEDAH Darul Aman (KDA) FC tersingkir daripada saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas tewas 1-2 kepada kelab Indonesia PSM Makassar pada aksi separuh akhir Zon ASEAN di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Bali, malam ini.
Pasukan tuan rumah berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-31 selepas Yakob Sayuri berjaya memanfaatkan hantaran Muhammad Rizky Pratama untuk meletakkan pasukannya di depan pada 45 minit pertama.
PSM Makassar terus mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua yang dijaringkan Yuran Fernandes pada minit ke-54, namun lapan minit kemudian beliau dilayangkan kad merah susulan menerima kad kuning kedua sekali gus memberi tamparan kepada pasukannya yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Situasi itu memberi kelebihan kepada KDA FC di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak yang hampir merapatkan kedudukan menerusi percubaan Muhammad Al Hafiz Harun pada minit ke-81, namun rembatan derasnya sekadar menggegar tiang gol.
Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin memberi harapan kepada skuad Sang Kenari menerusi gol pada minit ke-86 untuk mengurangkan defisit jaringan, namun ia belum cukup untuk membantu pasukannya yang terpaksa akur dengan kekalahan sekali gus menamatkan cabaran dalam kempen Piala AFC musim ini.
Dalam pada itu, seorang lagi pemain PSM Makassar Agung Mannan turut dilayangkan kad merah pada penghujung masa kecederaan.
Sementara itu, satu lagi wakil negara Kuala Lumpur City FC akan turun menentang kelab Vietnam Viettel FC dalam aksi peringkat sama di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, esok.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

