- Gambar hiasan Freepik

SEORANG suspek yang bertindak melakukan khianat dengan memecahkan mesin bank ATM di Bandar Bukit Tinggi, Klang ditahan polis malam tadi.

Suspek ditahan kurang dari 24 jam selepas pengurus bank bertindak membuat laporan polis memaklumkan terdapat dua buah skrin mesin teler automatik (ATM) mengalami kerosakan pada pukul 10.52 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati terdapat dua buah mesin ATM, enam mesin deposit tunai (CDM) dan sebuah mesin deposit cek di tempat kejadian.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, suspek telah masuk melalui pintu utama yang tidak berkunci dan tiada pengawal keselamatan pada pukul 4 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, suspek difahamkan cuba untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM sebelum tiba-tiba bertindak menendang skrin sehingga rosak lalu melarikan diri.

Baca artikel berkaitan : Lelaki cuba pecah mesin CDM guna ‘absorber’ kereta dicekup polis

Jelasnya, sepasukan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menjalankan pemeriksaan di mesin ATM tersebut dan menemui beberapa barangan yang boleh membantu siasatan.

“Polis kini membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 25 tahun berjaya ditahan di kawasan Jalan Dato Dagang 6, Taman Sentosa, Klang pada pukul 8.45 malam hari yang sama.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

“Turut dirampas ialah pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian,” tambahnya.

Hoong Fong berkata, Majistret Mahkamah Klang telah meluluskan reman ke atas suspek selama tiga hari sehingga Khamis.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram