Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan GAMBAR: Abd Razak Aid

PERMOHONAN Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai salah satu parti komponen akan hanya diputuskan minggu hadapan.

Keputusan permohonan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan bersidang minggu depan.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Menurut Mohamad, keputusan mengenai permohonan PBM itu akan ditentukan kepemimpinan BN secara konsensus.

Mohamad memberitahu, beliau telah bertemua bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin awal bulan lalu yang menyuarakan hasrat untuk menyertai BN.

Beliau menjelaskan, keputusan mengenai perkara itu tidak diputuskan secara berseorangan.

“Apabila semua pihak dalam BN bersetuju, baru boleh (sertai) dan saya sudah meminta beliau menulis surat kepada Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk dibawa dan dipertimbangkan dalam mesyuarat BN akan datang.

Baca artikel berkaitan: PBM sudah hantar permohonan, BN belum jawab

“Saya baca laporan media bahawa mereka sudah hantar surat. Tunggulah mesyuarat Dewan Tertinggi BN kerana perbincangan akan diadakan pada mesyuarat itu.

“Semua pihak iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBS) mesti bersetuju, jika ada kalangan pemimpin parti yang tidak bersetuju, ia tidak akan boleh diluluskan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa PBM telah menghantar permohonan untuk menyertai BN tiga minggu yang lalu, bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, bukan PBM sahaja namun ada juga beberapa parti lain yang telah memohon untuk menyertai BN.

Bagaimanapun, beliau berkata, parti-parti lain itu diminta untuk menjadi ‘Friends of BN’ terlebih dahulu.

“Kebanyakan parti kecil itu tiada dari kalangan mereka yang menjadi wakil rakyat atau Ahli Parlimen berbanding PBM.

“Oleh itu, pertimbangan dari pelbagai sudut perlu diperhalusi kerana kita tidak mahu pihak-pihak lain merasa tidak senang hati jika kita menerima sesuatu parti masuk sebagai anggota BN,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram