TINDAKAN seorang lelaki memalsukan nombor pendaftaran motosikal Yamaha RXZ yang ditunggangnya mengundang padah apabila dia ditahan polis hari ini.
Ini setelah pemeriksaan polis mendapati nombor pendaftaran yang dipamerkan tersebut sepatutnya didaftarkan pada sebuah kereta Honda Accord 2.4L i-Vetec.
Menerusi catatan di laman Facebook Friends of Trafik Ampang, lelaki itu dikesan di sekitar kawasan Pandan Mewah dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Unit Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (RO BSPTD) Ampang Jaya yang melakukan rondaan.
Polis yang membuat semakan pada nombor kad pengenalannya dengan menggunakan alat MCOPS mendapati penunggang motosikal itu mempunyai lesen memandu yang sah dan tidak mempunyai sebarang rekod “orang yang dikehendakki”.
Namun pemeriksaan lanjut pada nombor pendaftaran kenderaan yang dipamerkan mendapati ia didaftarkan pada sebuah motokar jenis Honda Accord 2.4L i-Vetec.
Penunggang motosikal bersama kenderaan ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 108 APJ 1987.
Hantaran terbabit pada masa sama memaklumkan kepada orang ramai agar maklumat disampaikan itu dapat digunakan sebagai pengetahuan dan panduan agar setiap pengguna jalanraya mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan kerajaan.

