TIGA lagi suspek yang diburu susulan kejadian menyerang seorang ustaz dan pelajar di sebuah pusat tahfiz di Kuala Lipis, Pahang telah pun ditahan polis, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, ketiga-tiga suspek telah pun ditahan dalam beberapa serbuan di Terengganu dan Bandar Jengka, Pahang.
Menurut beliau, tangkapan pertama dilakukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pahang di sebuah rumah di Kuala Nerus, Terengganu pada pukul 1 pagi tadi.
Azli memaklumkan, suspek ditahan bersama rampasan barang kes dengan semakan rekod mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Susulan daripada tangkapan tersebut, pasukan polis yang sama telah membuat serbuan dan tangkapan ke atas suspek seterusnya di tepi Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu kira-kira pukul 2 pagi.
“Kemudian, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Lipis juga telah membuat serbuan dan tangkapan di sebuah rumah di Felda Lepar Utara, Bandar Jengka kira-kira 8 pagi tadi.
Baca artikel berkaitan: Pusat tahfiz tular ditutup sementara, pelajar dan guru dibenar pulang
“Hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek terakir ini mempunyai kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azli memaklumkan, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis heroin.
Jelasnya, reman bagi ketiga-tiga suspek akan dimohon di Mahkamah Majistret Raub, Pahang hari ini dengan kesemua mereka ditahan di lokap Balai Polis Kuala Lipis untuk siasatan lanjut.
“Hasil kejayaan menangkap kelima-lima suspek dan merampas semua barang kes, polis berjaya menyelesaikan satu kes yang tular di media sosial berkenaan video di mana tiga orang lelaki telah menyerang seorang ustaz dan pelajar di sebuah pusat tahfiz.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan disebabkan pencerobohan kawasan,” jelas beliau.
Semalam, polis memburu tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian menyerang seorang ustaz di Jalan Cheneras, Kuala Lipis selepas dua daripada mereka sudah pun ditahan.
Kejadian dikatakan berlaku di sebuah pusat pengajian tahfiz pada pukul 5.10 petang semalam sebelum video klip si pelaku tular semalam.
Kejadian berkenaan dipercayai berlaku apabila lima orang suspek bersama seorang murid tahfiz telah pergi ke pusat tersebut menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Dalam pergaduhan tersebut, ustaz terbabit telah cedera pada mata kanan dan menerima empat jahitan serta mengalami kecederaan di tangan dan badan.
Punca kejadian dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan pembayaran makanan di situ.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

