Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

MALAYSIA dan Indonesia berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai pembangunan perkhidmatan jalur lebar dan penyediaan infrastruktur rangkaian Internet di kawasan luar bandar dan terpencil dalam satu perbincangan di Jakarta, hari ini.

Perbincangan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Badan Aksesibilitas Telekomunikasi dan Informatika (BAKTI) itu, dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa sempena lawatan kerja tiga hari beliau di sini bermula hari ini.

Turut hadir Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Adlan Mohd Shaffieq, Pengerusi Interim MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Presiden Direktur BAKTI Anang Latif.

Annuar yang ditemui pemberita selepas sesi perbincangan itu berkata banyak maklumat dikongsi BAKTI terutama pengalaman Indonesia membangunkan rangkaian Internet, sistem yang dipakai dan penggunaan teknologi satelit.

“Kami bertukar pengalaman, pandangan dan juga bertanya daripada sudut apa yang telah dilalui dan apa yang telah dilakukan di Indonesia sendiri.

“Secara keseluruhannya kita mempunyai banyak persamaan, malah permasalahan juga hampir serupa cuma dari segi pelaksanaannya sudah tentulah berbeza,” katanya.

Annuar juga percaya perkongsian amalan terbaik dalam membangunkan infrastruktur digital dalam kalangan negara ASEAN boleh dipertingkatkan.

Beliau berkata kerjasama dua hala perlu diteruskan terutama berkaitan adaptasi kepada teknologi berdasarkan pengalaman masing-masing. – BERNAMA