PELAKON Ako Mustapha mendedahkan penyakit kencing manis yang dihidapinya menjadi semakin serius dan teruk berikutan terlalu mengikut nasihat dan tips perawatan daripada rakan -rakan bagi memulihkan masalahnya itu.

Akibat terlalu ‘taksub’ dengan kaedah alternatif seperti minum air peria katak dan pengambilan suplemen, pelakon berusia 51 tahun itu terpaksa menanggung akibat apabila dikejarkan ke hospital pada awal bulan lalu disebabkan tiada kandungan insulin dalam badan.

“Sejujurnya saya tak pernah ada pengetahuan yang betul sejuk menghidap penyakit ini secara formal.

“Saya pula jenis yang suka dengar cakap orang lain. Bila mereka tahu saya ada kencing manis, mereka mengesyorkan saya untuk cuba makan suplemen itu dan ini serta mengamalkan minum air peria kata.

“Tindakan saya itu sampai mengabaikan pengambilan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital. Saya pula macam kambing yang tak berfikir…ikut sahaja apa orang kata sehingga kesihatan saya jadi huru-hara.

“Akhirnya, dua minggu lalu, gula dalam darah jadi sangat tinggi hingga menyebabkan darah jadi berasid sebelum saya dibawa ke hospital,” katanya kepada URTV.

Ako ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul Ai.5Ya di Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Walau bagaimanpun, Ako tidak pernah terdetik rasa menyesal kerana mengikut nasihat rakannya kerana beranggapan niat mereka baik untuk membantu dirinya.

“Mereka beri nasihat sebab nak membantu saya pulih daripada penyakit diabetes. Mungkin mereka pun dengar testimoni daripada orang lain dan tiba-tiba menyarankan saya untuk cuba makan dan minum ubat ini.

“Saya tak menyesal sebab sekarang ini saya sudah perbanyakkan ilmu tentang penyakit saya selain sering merujuk kepada pakar perubatan,” jelasnya.

Berkongsi lanjut mengenai penyakit yang dihidapi sejak 2016 itu, Ako mengaku kadangkala kurang memberikan fokus terhadap kerja kerana terlalu mengantuk gara-gara kandungan gula dalam darah tidak stabil.

“Bila kandungan gula dalam darah berada pada paras tinggi, saya jadi mudah mengantuk dan tak boleh beri fokus pada kerja.

“Sekarang ini keadaan saya bertambah baik dan perlu mengambil suntikan insulin sebanyak empat kali sehari,” jelasnya yang turut perlu membuat rawatan susulan secara berkala di hospital.