Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob menandatangani plak pelancaran [email protected] ketika hadir merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Selangor di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid


PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak berpeluk tubuh sebaliknya sentiasa membantu Keluarga Malaysia dalam mendepani kos sara hidup dan inflasi serta berusaha memastikan rakyat kalis cabaran. 

Beliau berkata selepas diuji pandemik, dunia kini berdepan pelbagai cabaran baharu dan paling genting ialah perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan konflik Rusia-Ukraine. 

“Gabungan semua faktor adalah antara punca kepada kenaikan harga barangan sehingga mengakibatkan kos sara hidup meningkat,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor di sini hari ini. 

Perdana Menteri berkata pelbagai strategi jangka pendek, sederhana dan panjang dilaksanakan kerajaan yang membabitkan kerjasama semua kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh Keluarga Malaysia.

“Hasilnya, hari ini kita dapat melihat ekonomi negara kita merupakan yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob melakukan gimik perasmian ketika hadir merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Selangor di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Penjawat awam perlu pertahan kerajaan daripada fitnah – Perdana Menteri

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar selaku menteri penganjur Jelajah AKM edisi kelapan di Selangor. 

Perdana Menteri berkata sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global maka kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya. 

“Bagaimanapun, kadar inflasi negara berada pada paras 3.4 peratus dan angka ini merupakan antara yang terendah di Asia Tenggara,” katanya. 

Ismail Sabri berkata bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap Keluarga Malaysia, kerajaan telah membelanjakan peruntukan subsidi sebanyak RM77.3 bilion yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah negara.

Beliau berkata Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh tahun ke tahun sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022. 

“Ini merupakan paras tertinggi sejak 2013, dengan lonjakan besar dalam jualan kenderaan bermotor,” katanya. 

Perdana Menteri juga berkata pada 2021, jumlah dagangan Malaysia buat pertama kalinya melepasi paras RM2 trilion, meningkat 24.9 peratus dari tahun sebelumnya berikutan prestasi memberangsangkan bagi kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

“Saya juga yakin pelabur asing terus berminat untuk menanam modal di negara ini hasil polisi dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

“Bagi tempoh sembilan bulan yang lalu sehingga Jun 2022, negara kita merekodkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM74.1 bilion sekali gus mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 dan 2018,” katanya. 

Ismail Sabri berkata kejayaan yang dicapai itu membuktikan ekonomi negara kini semakin pulih dan kerajaan terus komited dalam menjayakan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini.

“Saya sememangnya berharap semua pihak akan terus memberi sokongan kepada segala inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan demi kebaikan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya. 

Beliau turut memaklumkan Inisiatif JaminKerja bernilai RM4.8 bilion dengan sasaran menawarkan 600,000 peluang pekerjaan yang dilancarkannya pada 19 Feb lepas telah merekodkan sebanyak 400,000 jawatan diisi di seluruh negara sehingga kini. 

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram