GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bertindak melancarkan petisyen secara dalam talian bagi memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya tidak memberi pengampunan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Berdasarkan petikan teks dalam petisyen di change.org itu, Bersih 2.0 memohon limpah perkenan Al-Sultan Abdullah tidak mengurniakan keampunan kepada bekas Perdana Menteri itu kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat.
Menurut Bersih 2.0, Najib telah disabitkan bersalah menyeleweng dana awam melalui SRC International sebagaimana diputuskan Mahkamah Persekutuan semalam dan telah diberikan proses seadilnya.
Bersih menegaskan, rakyat berasa sengsara dengan kesan korupsi individu yang diberi mandat membangunkan negara tetapi memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara.
“Walaupun mungkin Najib tidak malu dengan perbuatannya, patik-patik sekalian rakyat terpaksa hidup menahan malu kerana negara terpalit sebagai kes kleptokrasi terbesar dunia.
“Rakyat sepenuh hati memohon limpah perkenan Tuanku untuk mempertimbangkan rayuan patik-patik sekalian agar sebarang permohonan ampun oleh Najib yang telah memberi malu kepada negara ini.
“Biarlah Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan membayar denda RM210 juta untuk dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang sangka mereka boleh dengan korup menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Najib telah jalani hukuman, sudah-sudahlah tertawakan
Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 52,288 tandatangan secara dalam talian telah pun dikumpul petisyen tersebut.
Semalam, pakar perundangan, Datuk Salehuddin Saidin ketika ditemubual Astro Awani berkata, Najib atau waris boleh memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong meskipun beliau telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 42 menyatakan bahawa sama ada seseorang yang telah disabutkan dan menjalani hukuman atau waris boleh membuat permohonan pengampunan daripada Sultan atau Seri Paduka.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International.
Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara mulai semalam.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan CBT kerana penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.
Najib, 69, pada 8 Dis 2021 gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

