PELAKON Mira Filzah berkongsi mengenai anak lelakinya, Wan Khair Amir yang berusia tiga bulan, disahkan positif Covid-19, dua minggu lalu.
Menurut Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, berdepan detik cemas dan menangis apabila mengetahui anaknya itu dijangkiti virus selepas melihat keadaan Amir yang sukar bernafas.
“Saya tergerak hati untuk membuat ujian saringan ke atas Amir selepas melihat kesukarannya untuk bernafas dan matanya berair. Selalunya bayi yang masih kecil jarang berdepan dengan situasi sebegitu.
“Kebetulan sebelum ini keluarga saya turut disahkan positif Covid-19. Enggan mengambil risiko saya terus membuat pemeriksaan dan ternyata Amir juga positif Covid-19.
“Sebagai ibu saya tak sanggup melihat keadaan Amir ketika menjalani ujian saringan. Kita yang dewasa pun rasa sakit bila hidung kita dijolok, inikan pula bayi berusia tiga bulan,” katanya memetik Harian Metro.
Walau bagaimanapun, Mira reda dan bersyukur anaknya itu tidak mengalami simptom yang teruk.
“Saya percaya kalau bukan sekarang mungkin pada masa akan datang Amir akan terkena juga jangkitan virus ini. “Alhamdulillah Amir tidak mengalami simptom yang teruk dan hanya perlu menjalani kuarantin di rumah saja,” ujarnya.
Mira mendirikan rumah tangga bersama Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar pada 3 September 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki pada 10 Mei lalu.

