KUASA menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana akan dipertanggungjawabkan kelak di ‘hari kemudian’.
Itu titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka bertitah, undang-undang hanya memiliki satu bahasa, satu prinsip, satu hukuman dan satu aplikasi kepada sesiapa sahaja.
Titah Al-Sultan Abdullah, keadilan tidak akan tercapai jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang sudah ternoda.
“Akibatnya, pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa. Maka, titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.
“Keadilan tidak akan tercapai jika roh keadilan tidak terkandung dalam sanubari mereka yang diberikan amanah untuk mentadbir keadilan,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka bertitah sedemikian ketika berucap merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang, hari ini.
Al-Sultan Abdullah berkenan memasyhurkan kompleks bernilai RM44.75 juta yang mula dibina pada 22 Jun 2015, siap pada 23 Sept 2021 dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah.
Baca artikel berkaitan: Agong ucap tahniah kejayaan sambutan Hari Kebangsaan 2022
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
Selain itu, Seri Paduka juga mengingatkan hakim Syarie untuk memastikan kes yang dikendalikan mereka dapat dihakimi seadil-adilnya dan penghakiman dilaksanakan dengan segera, selain pegawai mahkamah serta peguam Syarie turut sama membantu melancarkan prosiding mahkamah.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya cadangan konsep diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan jenayah) dapat dilaksanakan di negara ini.
“Saya juga ingin meminta hakim-hakim Syarie untuk mendalami dan mengkaji hukuman berbentuk servis kemasyarakatan yang boleh diambil kira kerana ada kesalahan yang tidak begitu besar, harus difikirkan agar mereka boleh berbakti kepada masyarakat… yang boleh diselesaikan dengan budi bicara,” titah Seri Paduka.
Menyentuh mengenai pembinaan komplek mahkamah itu, Al-Sultan Abdullah berharap ia dapat memberikan perkhidmatan terhadap masyarakat selain menyampaikan serta mengembangkan syiar Islam dan mempertingkatkan institusi mahkamah syariah negara ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram