Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan tangki yang disita susulan penahanan 11 lelaki yang disyaki terbabit dalam penyelewengan diesel subsidi menerusi Op Kontraban di Jalan Semenyih Kajang, Selangor pada Khamis lepas.

Polis melumpuhkan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan penahanan 11 lelaki dan merampas 94,450 liter bahan bakar tersebut dalam dua serbuan di Jalan Semenyih, Kajang pada Khamis lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata serbuan ke atas dua gudang oleh pasukan polis dari Unit Risikan Jenayah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor bersama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia itu, dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam.

Menurutnya 11 lelaki termasuk empat warga asing yang ditahan itu berperanan sebagai pemandu lori dan pekerja am berusia antara 19 dan 59 tahun.

“Siasatan mendapati sindiket tersebut aktif sejak tiga bulan lepas dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan itu dengan membeli minyak dari stesen minyak sekitar Kajang menggunakan lori dan kereta pacuan empat roda yang telah diubah suai.

“Apabila tong pada lori yang diubah suai itu telah penuh, kesemua minyak diesel akan dipindahkan ke dalam tangki simpanan di gudang sebelum dijual semula kepada pengusaha industri pada harga RM4 hingga RM5 seliter,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan hari ini.

Baca artikel berkaitan : Lapan ditahan seleweng diesel bersubsidi RM174,720

Arjunaidi berkata turut dirampas tujuh lori bonded dan sebuah kereta jenis Toyota Hilux dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1.5 juta, manakala nilai kerugian ditanggung kerajaan akibat aktiviti sindiket itu kira-kira RM203,067.

Menurutnya kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman hingga esok.

Katanya kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kajang, Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram