ORANG ramai memijak tanaman ketika menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan (gambar kiri) dan seorang pelancong (gambar kanan) membantu mengutip sampah yang terbiar selepas majlis tersebut berakhir. - Gambar Internet/TikTok

DIA bukan ahli politik, bintang filem, penyanyi atau selebriti. Bruce Benson hanya seorang nelayan dari Kanada. Namanya tidak terkenal di seluruh dunia, hanya dikenali dalam kalangan rakan-rakan yang bersama-sama menangkap ikan di negaranya.

Tentunya kita di Malaysia juga tidak mengenalinya. Tetapi dia mengenali Malaysia dan tertarik dengan negara ini. Kerana itu dia berehat daripada menangkap ikan untuk datang melancong ke sini. Kebetulan kehadirannya ketika negara menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Merdeka 31 Ogos lalu.

Tidak diduga, kehadirannya menjadikan dia dikenali dan popular. Semuanya hanya kerana dia telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh pelancong asing lain, iaitu mengutip sampah.

Biasanya pelancong datang untuk menikmati keindahan negara ini di samping menghayati cara hidup dan sosio-budaya rakyat berbilang kaum yang unik, bersatu dan harmoni dalam kepelbagaian. Juga untuk merasai pelbagai cita rasa makanan yang sinonim dengan bangsa Malaysia.

Namun Bruce Benson berbuat lebih daripada itu. Insan yang sangat mengutamakan kebersihan ini mengutip sampah yang dibuang oleh orang ramai di Dataran Merdeka dan sekitarnya ketika sambutan Hari Kebangsaan.

Video dia mengutip sampah dengan memegang plastik hitam dan kotak sampah tular di media sosial. Lalu apakah perasaan kita sebagai rakyat negara ini, terutama yang suka membuang sampah sesuka hati, melihat pelancong asing mengutip sampah buangan kita? Tidakkah berasa malu?

BERITA BERKAITAN Sambutan Hari Kebangsaan di peringkat komuniti boleh dipertingkat – Annuar

Apa yang Benson lakukan menyampaikan mesej tersurat dan tersirat betapa buruknya sikap orang ramai membuang sampah mencemarkan persekitaran. Warga asing pula yang lebih peka kebersihan sekitar. Hakikat inilah yang mesti disedari dan dijadikan iktibar.

Bruce Benson sudah kembali ke Kanada. Dia perlu pulang untuk menjalankan kerja rutinnya menangkap ikan kerana itulah sumber pendapatannya. Namun dia telah meninggalkan satu contoh teladan baik yang seharusnya menjadi menjadi ikutan dalam aspek menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata.

Pernahkah terlintas di fikiran bahawa membuang sampah merata-rata ini sudah semacam menjadi kebiasaan atau habit di kalangan sebahagian rakyat negara ini. Kerana itu sampah dapat dilihat di merata tempat, baik di jalan, kaki lima, taman atau tempat rekreasi, di kedai makan, di pusat beli belah dan sebagainya.

Di kebanyakan tempat ada disediakan tong sampah. Tetapi ramai tetap memilih membuang sampah merata-rata. Mungkin malas hendak bergerak ke tong sampah kerana lebih mudah membuang sampah di sekeliling tanpa memperdulikan perbuatan itu mencatatkan pemandangan, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan.

Sikap ini bagai sudah sebati dalam diri sehingga sukar untuk diubah. Barangkali orang ramai berpendapat kebersihan hanya perlu dijaga di rumah atau kawasan kediaman sendiri. Di luar rumah tidak peduli, boleh buang sampah sesuka hati.

Jika kebersihan di rumah dijaga, kenapa tidak menjaga kebersihan di tempat lain sama seperti di rumah sendiri? Atau jika di rumah pun memang biasa pengotor, kotorkan sahaja rumah sendiri. Jangan kotorkan tempat lain, terutama kawasan awam.

Kawasan awam dan harta awam adalah untuk semua yang mesti dijaga dengan sebaik-baiknya. Aspek ini perlu ditekankan kerana bukan setakat isu buang sampah pada sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan lalu, tetapi insiden merosakkan tanaman hiasan turut berlaku di Dataran Merdeka dan sekitarnya.

Akibatnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBK) terpaksa menanggung kerugian sehingga mencecah RM700,000 apabila tanaman hiasan yang menyerikan pemandangan dipijak oleh orang ramai yang datang menyaksikan perarakan dan persembahan Hari Kebangsaan.

Sekali lagi ini menggambarkan kesedaran sivik yang cetek di kalangan sebahagian rakyat negara ini. Pihak DBKL bertungkus lumus mencantikkan pemandangan sekitar, orang ramai pula sesuka hati memijak tanaman hiasan sehingga rosak binasa.

Hendak dikatakan tidak nampak, tidak mungkin. Masakan tidak melihat tanaman subur menghijau. Yang sebenarnya ialah sengaja dipijak sehingga lunyai. Mereka tidak peduli memusnahkan keindahan ini dan tidak peduli jika DBKL menanggung kerugian begitu tinggi. Maklum bukan harta sendiri.

Rakyat mesti sedar kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf kelas pertama untuk kemudahan dan keselesaan rakyat. Kerana itu rakyat juga mesti berminda kelas pertama serta memiliki kesedaran sivik yang tinggi. Jangan sampai orang luar tidak hormat lantaran sikap buruk kita.

Membuang sampah sesuka hati walau tempat pembuangan disediakan, atau merosakkan harta awam, itu adalah mentaliti minda kelas ketiga. Ubahlah tabiat buruk ini. Sukakah rakyat Malaysia dilabel sebagai kelas ketiga?

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram