Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd Razak Aid

Barisan Nasional (BN) secara konsisten akan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia apatah lagi jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebersamaan yang ada dalam kalangan parti komponen BN telah diterjemahkan sebaik-sebaiknya.

“Saya secara konsisten telah menyatakan bahawa BN akan terus mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia apatah lagi jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan dan Pameran Pencegahan Jenayah di ibu negara hari ini.

Baca: PRU-15: MT UMNO putuskan Ismail Sabri calon PM

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ahmad Zahid berkata, kesemua kerusi yang pernah ditandingi MIC pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan kekal menjadi milik parti itu untuk ditandingi pada PRU-15.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata MIC juga boleh bertanding di kerusi lain, namun perlu berunding terlebih dahulu dengan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat).

“Tan Sri Vicky (Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran) saya janji, berapa kerusi yang ada dan pernah ditandingi oleh MIC di dalam PRU14 dan pilihan raya lalu, itu memang MIC punya. Tan Sri Vicky, kalau mahu lebih pun boleh, itu kena rujuk dengan Tok Mat, saya ulang nak dapat lebih pun boleh tetapi runding dengan Tok Mat.

Tetapi saya yakin Tok Mat, saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan memberi pertimbangan sehabis baik kepada sokongan MIC kerana kita yakin kebersamaan yang ada dalam parti-parti komponen BN telah diterjemahkan sebaiknya,” katanya.

Sebelum ini, MIC bercadang untuk bertanding di 12 kerusi Parlimen pada PRU15 dan perkara itu telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangkan.

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).