Tangkap layar rakaman memaparkan kejadian perselisihan faham mengenai isu penderaan anjing.

POLIS membuka dua kertas siasatan susulan kejadian perselisihan faham mengenai isu penderaan anjing di Bandar Teknologi, Kajang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan kejadian daripada seorang wanita India pada pukul 11.30 malam, Jumaat lepas.

Beliau berkata, pengadu mendakwa telah melihat perbuatan seorang lelaki yang melastik anjing liar di hadapan rumahnya sebelum bertindak menegur.

Jelasnya, suami pengadu juga telah pergi ke rumah lelaki terbabit dan menasihat suspek supaya tidak melakukan perbuatan mendera haiwan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Pengadu yang tidak puas hati akan kejadian terbabit telah membuat laporan polis dan menularkan klip video kejadian di laman Facebook,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya menerima laporan kedua membabitkan sebuah video tular mengenai seorang lelaki telah ke rumah jirannya dengan tujuan memberi nasihat supaya tidak menganiaya anjing dalam kejadian pukul 8.55 malam kelmarin.

Baca artikel berkaitan : Iring van mayat di Meru, polis nafi libatkan gangster

Katanya, menerusi video terbabit memaparkan sekumpulan lelaki pengadu yang sedang memberi nasihat berkenaan layanan baik terhadapn haiwan dari sudut agama dan undang-undang.

“Kemudian tiba-tiba keadaan menjadi tidak terkawal apabila berlaku kekecohan dan pengadu dicekak di leher baju oleh salah seorang lelaki lain yang tidak puas hati dengannya,” katanya.

Ekoran kejadian tersebut, pengadu telah membuat laporan polis kerana berasa terancam akan tindakan lelaki tersebut.

“Susulan dua laporan yang diterima, dua kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Manakala untuk kes kedua disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Ali Hamzah di talian 019-8660324 bagi membantu siasatan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram