BAPA durjana yang mengaku bersalah merogol dua anak kandungnya dijatuhi hukuman penjara selama 428 tahun serta 240 sebatan di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Hukuman ke atas bapa durjana itu selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah kerana merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak kandung kini berusia 15 dan 19 tahun sejak tujuh tahun lalu serta mengugut untuk membunuh isteri serta kedua-dua mangsa.

Memetik laporan Astro Awani, tertuduh yang berusia 56 tahun telah mengaku bersalah atas 28 pertuduhan yang dibuat di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.

Bapa durjana itu yang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat pelaburan hanya tunduk lesu ketika mendengar keputusan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Nariman Badruddin.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan hukuman berjalan serentak secara berperingkat dengan tempoh pemenjaraan hanya selama 45 tahun.

Pada masa sama, hanya 24 hukuman sebatan telah ditetapkan memandangkan itu merupakan hukuman maksimum.

Mengikut 21 pertuduhan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua mangsa secara berasingan dengan 13 pertuduhan melibatkan mangsa berusia 19 tahun serta lapan lagi pertuduhan membabitkan seorang lagi mangsa yang kini berusia 15 tahun.

Tertuduh turut didakwa atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa yang berusia 15 tahun dan berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

Baca artikel berkaitan: Bapa tiri durjana dipenjara 15 tahun rogol anak

Malahan, bapa lima anak itu turut berdepan satu pertuduhan lain mengikut Seksyen 377B Kanun sama kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama serta satu lagi pertuduhan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal.

Mengikut fakta kes, kejadian yang berlaku sejak tahun 2015 itu terbongkar selepas isteri mangsa terlihat tertuduh sedang merogol mangsa yang kini berusia 15 tahun di rumah mereka pada 5 september lalu.

Tertuduh yang mempunyai dua isteri dikatakan menjadikan kedua-dua mangsa sebagai ‘hamba seks’ selepas mereka mencecah usia 12 tahun dengan melakukan perbuatan terkutuk itu di setiap ruang rumah termasuk atas sofa ruang tamu dan tangga rumah.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 24 September 2015 hingga 5 September 2022 di Taman Thamby Chik, Melaka.

Ahad lalu, media melaporkan seorang lelaki tergamak menjadikan anak perempuannya berusia 19 dan 15 tahun sebagai hamba seks seawal usia 12 tahun.

Perbuatan terkutuk itu hanya terbongkar apabila disaksikan isterinya sendiri ketika pergi ke bilik tidur anak kedua daripada tiga beradik.

Tertuduh yang terkejut disergah isterinya kemudian bertindak mengambil pisau serta mengugut untuk membunuh wanita tersebut, anak kedua dan bongsu berusia sembilan tahun serta mencabut nyawanya sendiri jika kejadian itu dilaporkan kepada polis.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram