Universiti Teknologi Mara (UiTM) GAMBAR: Abd Razak Aid

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) telah mewujudkan Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa untuk bertindak serta-merta mencari resolusi terbaik membantu mahasiswa yang sukar mendapatkan rumah sewa.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan amat prihatin dan mengambil berat perihal kebajikan mahasiswa susulan isu kesukaran mendapatkan rumah sewa terutama di kawasan berdekatan kampus universiti berkenaan.

Menurut universiti itu, portal rumah sewa non residen (NR) telah diwujudkan bagi membantu memudahkan urusan mahasiswa.

Selain untuk mencari rumah sewa, UiTM berkata, platform tersebut juga boleh digunakan untuk tujuan pengiklanan oleh tuan rumah.

“Dalam konteks ini, pengurusan NR UiTM turut membuat tinjauan secara berkala yang berkaitan dengan isu keselamatan, kontrak perjanjian sewa rumah dan kebajikan mahasiswa NR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, UiTM juga telah menyediakan 107,000 tempat di kolej-kolej kediaman dengan penawaran 34,000 kepada pelajar baharu Diploma dan Ijazah Sarjana Muda; 52,000 tempat kepada pelajar yang layak secara merit mengikut polisi penempatan dan 21,000 kepada pelajar yang sedang merayu kolej kediaman.

Baca artikel berkaitan: Pelajar UiTM sempat lompat keluar sebelum kereta terjun gaung

Katanya, permohonan rayuan kolej boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Rayuan Kolej yang dibuka mulai 13 hingga 23 September manakala keputusan permohonan rayuan akan dikeluarkan mulai 28 September depan.

Jelasnya tawaran kolej kediaman untuk pelajar yang sedang membuat rayuan adalah tertakluk kepada kriteria termasuk merujuk polisi penempatan UiTM; pelajar semester akhir dari keluarga berpendapatan di bawah RM2,000 dan B40 dan pelajar Sabah dan Sarawak dari keluarga berpendapatan di bawah RM2,000.

UiTM berkata Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa, sedang meneliti dan menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi dengan cara yang terbaik serta berharap kepada semua mahasiswa agar kekal tenang dalam menghadapi situasi sekarang.

“Pihak UiTM akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan tidak akan mengambil mudah dengan sebarang perkara terutama yang mendatangkan kesulitan kepada mahasiswa serta warganya,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram