- Gambar Twitter FAM

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon, mahu memanfaatkan Kejohanan Piala RajaThailand sebagai persiapan menghadapi Piala AFF akhir tahun ini dan Piala Asia 2023, tahun depan.

Pan Gon berkata kejohanan empat negara di Chiang Mai itu akan memberi peluang kepada pasukannya untuk menimba pengalaman dan keyakinan menghadapi saingan serantau dalam Piala AFF dan kuasa besar benua dalam Piala Asia 2023.

Kami akan menggunakan peluang ini untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kekuatan dan kemampuan setiap pemain dalam pasukan kita,” katanya semasa sidang media praperlawanan menjelang pertembungan menentang Thailand di Chiang Mai, esok.

Jurulatih dari Korea Selatan itu juga yakin bahawa muka baharu yang dipanggil untuk kejohanan itu, akan mempamerkan prestasi terbaik mereka untuk kekal dalam skuad.

“Memandangkan ini kali pertama saya berdepan Thailand, saya mahu mengekalkan momentum yang kami ada mulai Jun lalu dan akan cuba yang terbaik untuk kami mencapai satu lagi pencapaian,” tambahnya.

Piala AFF akan berlangsung 20 Dis hingga 16 Jan depan manakala Piala Asia 2023 akan bermula 16 Jun hingga 16 Julai tahun depan.

BERITA BERKAITAN Brendan gembira kembali sarung jersi Harimau Malaya

Sementara itu, kapten Muhammad Syafiq Ahmad, berkata mereka akan mengambil peluang untuk menunjukkan keupayaan pasukan menentang Thailand, walaupun menyedari kebolehan teknikal pemain lawan.

“Kami mempunyai rekod prestasi yang baik tahun ini kerana layak ke Piala Asia, oleh itu kami perlu mengekalkan momentum ini untuk setiap perlawanan dan akan menunjukkan kebolehan kami dalam setiap perlawanan,” katanya.

Dalam Kejohanan Piala Raja Thailand ini, Malaysia yang berada di ranking 148 dunia akan menentang Thailand (ranking 111) esok, manakala Trinidad & Tobago (ranking 101) akan berhadapan dengan Tajikistan (ranking 109).

Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan bertemu dalam peringkat final pada Ahad ini manakala pasukan yang kalah akan berentap untuk merebut tempat ketiga.

Malaysia pernah menjulang piala berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram