Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMBAHAGIAN kerusi melibatkan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilaporkan BH Online.

Menurut Tuan Ibrahim, satu perbincangan telah pun dilakukan sebelum ini namun masih belum ada keputusan muktamad berhubung perkara berkenaan.

Namun begitu, Tuan Ibrahim meluahkan keyakinan bahawa isu pembahagian kerusi itu dapat diselesaikan selepas beberapa pertemuan bersama semua pemimpin dalam PN.

“Saya difahamkan mesyuarat pertama sudah diadakan, mesyuarat kedua dan ketiga akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Saya rasa dalam PN ini kita mudah untuk selesai masalah kerusi, tiada masalah sangat (dan) kita yakin dalam dua, tiga kali mesyuarat boleh selesaikan, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ceramah 3 Menteri Besar PAS dan Pelancaran Jentera PRU-15 di Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu, malam tadi.

Baca artikel berkaitan: PN tubuh jawatankuasa manifesto PRU-15, Radzi Jidin pengerusi

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas sudah pun berada di ‘gear’ terakhir dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU-15.

“Ini kira ‘gear’ akhir, sudah bersedia sepenuhnya daripada segi jentera.

“Insya-Allah daripada segi parti, kita (juga) masih menunggu mengenai tarikh persiapan PRU-15, tetapi secara keseluruhannya kita dapati negeri-negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Mengenai manifesto PRU-15 bagi gabungan parti di dalam PN, Tuan Ibrahim berkata, PN sudah menubuhkan satu jawatankuasa manifesto PRU-15 yang memberi fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Manifesto bersama kita sudah draf (dan) jawatankuasa manifesto bersama juga diwujudkan untuk merangka mengenai asas dan dasar-dasar utama.

“Tumpuan utama kita yang pertama untuk pemulihan ekonomi negara dan kedua, kita akui bahawa isu perubahan iklim ada impak secara langsung kepada situasi negara.

“Jadi kita beri keutamaan soal kebajikan rakyat dan sebagainya serta melihat isu yang menjadi keutamaan juga dan dalam konteks ini ialah sebuah negara yang berintegriti tinggi, bebas rasuah serta menjamin keadilan kepada semua rakyat,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram