Lans Koperal Mohd Ridzuan Marsudi cedera parah di pergelangan tangan yang mengakibatkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan. GAMBAR: Polis.

DUA anggota polis cedera parah dilibas parang selepas seorang lelaki dipercayai penagih dadah mengamuk di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36 Shah Alam, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa, Lans Koperal Mohd Ridzuan Marsudi cedera parah di pergelangan tangan yang mengakibatkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan.

“Seorang lagi, Inspektor Mohd Zulhusni Hasan turut cedera di pergelangan pada tangan telah menerima lima jahitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Mengulas lanjut, dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, mangsa bersama lima orang anggota polis sedang membuat siasatan susulan kes terhadap suspek yang disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Suspek ketika itu memandu kereta jenis Navara didapati mengamuk dengan melanggar dan menghempas pasu bunga pada sebuah kereta jenis Honda Accord milik abangnya,” katanya.

Baca artikel berkaitan : Anggota polis cedera parah motosikal dilanggar penyeludup diesel

Jelasnya, suspek kemudian dilihat mengejar abangnya yang merupakan pesara guru dengan sebilah parang.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya telah sampai ke rumah suspek yang bersebelahan dengan rumah abangnya dan mendapati suspek enggan memberikan kerjasama dengan mengunci rumah.

“Inspektor Mohd Zulhusni bersama pasukan polis telah berjaya masuk ke rumah suspek, tetapi suspek kemudian bertindak melibas parang ke arah Lans Koperal Mohd Ridzuan,” ujarnya.

Ekoran kejadian itu, satu das tembakan telah dilepaskan oleh Lans Koperal Mohd Ridzuan bagi mempertahankan diri.

“Tembakan tersebut terlepas ke udara akibat pergelutan dan menyebabkan suspek terus menyerangnya,” ujarnya.

(Atas) Kecederaan yang dialami oleh Inspektor Mohd Zulhusni dan (bawah) kecederaan yang dialami oleh Lans Koperal Mohd Ridzuan. GAMBAR: Polis.

Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan Tetrahydro Cannabinol Hydrocarboxy Lic Acid (THC).

“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksan dan direman tiga hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Katanya, kes kini disiasat dibawah Seksyen 307 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram