
DUA tahun telah pun berlalu selepas dunia ‘dikejutkan’ dengan krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang membuatkan kehidupan masyarakat global berubah.
Memasuki tahun 2022, kebanyakan negara termasuk Malaysia mula merasakan ‘ada sinar di hujung terowong’ apabila kedudukan ekonomi mula pulih walaupun dengan kadar yang perlahan.
Namun, pertengahan September lalu, Bank Dunia dalam satu kajian meramalkan keadaan sebenarnya masih belum selamat.
Amaran daripada Bank Dunia – seluruh global mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan.
Keadaan itu berlaku ketika bank-bank pusat seluruh dunia menaikkan kadar faedah secara serentak sebagai tindak balas mengawal peningkatan inflasi.
Langkah itu, malah dikatakan pada tahap yang tidak pernah disaksikan sejak lima dekad lalu dengan trend yang berkemungkinan berterusan sehingga 2023.
Kebimbangan itu turut disuarakan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang memberi amaran bahawa 2023 akan menjadi ‘tahun gelap’ disebabkan masalah ekonomi, keselamatan makanan dan krisis tenaga.
Krisis berterusan antara Rusia dan Ukraine serta pandemik COVID-19 yang masih tidak menemui titik noktah menjadi punca kepada kemelut itu.
Lebih merisaukan, Jokowi dilaporkan berkata bahawa 66 negara dunia akan runtuh disebabkan kedudukan buruk ekonomi – jumlah yang pada asalnya hanya sembilan, meningkat kepada 25 kemudian 42 dan menjadi 66 negara.
Bagi perspektif Malaysia, Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 6.4 peratus tahun ini berbanding 5.5 peratus yang diramalkan sebelum ini.
Pertumbuhan tersebut didorong peningkatan aktiviti ekonomi pada separuh pertama 2022 dengna data menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang jauh melebihi jangkaan.
Bagaimanapun, peningkatan inflasi, kenaikan kos sara hidup, kesan pengurangan langkah bantuan tunai dan persekitaran luaran yang lembap disifatkan boleh menimbulkan risiko penurunan pada separuh kedua 2022.
Pertumbuhan KDNK bagi 2023 turut disemak turun Bank Dunia yang menjangkakan berkembang 4.2 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini berikutan ketidaktentuan persekitaran global.
Baca artikel berkaitan: Agenda perkasa bumiputera masih indah khabar dari rupa
Buat masa ini, pelbagai indikator ekonomi Malaysia telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan menerusi dasar-dasar dilaksanakan kerajaan terutama kepada sektor-sektor yang terjejas terus semasa pandemik COVID-19.
Pemulihan KDNK; penurunan kadar pengangguran selama 12 bulan berturut-turut dan peningkatan eksport merupakan antara petunjuk bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan tepat.
Persoalannya, adakah negara mampu terus bertahan bagi menghadapi situasi yang kian mencabar?
Apakah impak kemelesetan ekonomi tahun hadapan terhadap negara terutama golongan rentan?
Apakah perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merangkumi majoriti jumlah perniagaan boleh terus ‘hidup’?
Bagaimana pula ‘nasib’ nilai ringgit yang ketika ini berdepan penyusutan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang semakin mengukuh.
Perkara itu dibangkitkan peserta dan ahli panel dalam Randau Ke-14: Kemakmuran Negara Tempang Dilanda Krisis Ekonomi-Kewangan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM), semalam.

Isu pokok yang dirisaukan adakah sama ada komuniti ekonomi bumiputera yang dianggap golongan rentan lebih terdedah kepada sebarang bentuk kegawatan.
Berlangsung di ibu negara Jumaat lalu, lebih 50 peserta daripada pelbagai latar belakang hadir di ibu pejabat MPM itu.
Ada ahli akademik, pembuat dasar, pemimpin industri, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi berkaitan dan juga tokoh-tokoh dihormati.
Empat ahli panel sesi randau ini terdiri daripada Dr. Salihin Abang; Datuk Mohamad Daud Dol Moin; Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.
Seorang lagi adalah Tan Sri Sulaiman Mahbob yang menyertai secara dalam talian.
Semua tokoh ini bukan calang-calang dalam bidang masing-masing terutamanya apabila membicarakan soal ekonomi.
Menyentuh mengenai soal kemerosotan ringgit, Mohamad Daud memberi pandangan bahawa langkah kerajaan tidak menambat ringgit itu tindakan tepat.
Jika dibandingkan dengan Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997/1998 dahulu, situasi ekonomi pada ketika ini tidaklah seteruk itu.
Malah, bukan ringgit sahaja yang meleset berbanding dolar AS, setakat 20 September lalu, yen Jepun; pound sterling malah Euro turut susut.
Ini disebabkan tindakan Rizab Persekutuan AS yang secara berterusan menaikkan kadar faedah sekali gus mengukuhkan kedudukan dolar.
Baca artikel berkaitan: Langkah tidak tambat ringgit tepat, boleh jatuhkan ekonomi
Mohamad Daud yang bersara dari BNM pada tahun 2009 turut membuka cerita sewaktu Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menambat ringgit.
“Tiada siapa pun bersetuju dengan langkah itu kerana membawa risiko besar tetapi pada waktu itu ia berjaya,” katanya.
Namun, tindakan itu dilihat tidak sesuai diadakan ketika ini lebih-lebih lagi dengan perubahan dinamik pasaran.
Anuwar pula membangkitkan persoalan yang mungkin bermain di fikiran setiap rakyat.
Malaysia mempunyai falsafah pembangunan menerusi dasar atau rancangan mantap yang sememangnya nampak cantik di atas kertas.
Tetapi kemampuan sistem penyampaian di semua peringkat telah sedikit sebanyak mencorakkan kedudukan ekonomi negara ketika ini.
“Soal ketirisan dan kebocoran (berleluasa) dengan integriti dan ketelusan yang tidak ada.
“Kita kena berbalik semula melihat bagaimana perancangan yang telah dibuat ini dengan teliti dan selaraskan dengan bajet negara,” katanya.
Selain panel, beberapa peserta turut berpeluang melontarkan pandangan masing-masing.
Antara cadangan yang diutarakan termasuk mengembalikan semula kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’ bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk luar.
Cadangan itu sekali gus boleh membantu mengukuhkan semula nilai ringgit.

Pada masa sama, ada juga cadangan supaya syarikat-syarikat besar atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ‘membawa pulang’ aset luar negara dalam bentuk dolar AS bagi mengukuhkan semula nilai ringgit.
Paling menarik – kenyataan diungkapkan Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang mengatakan negara memerlukan ‘bomoh’ untuk kembali memulihkan ekonomi yang dilihat semakin kritikal.
Bekas Ahli Dewan Negara itu berpandangan, keadaan ekonomi negara menjadi semakin ‘malang’ ketika di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Yang lepas itu biarlah lepas. Jika cakap pasal perkara lalu hanya menyakitkan hati, telinga dan jiwa. Sekarang kita fokus kepada masa hadapan.
“Untuk mendapat ekonomi yang baik, kita memerlukan kerajaan yang bagus dan stabil.
“Kerajaan yang stabil akan dapat menarik pelabur seterusnya membuatkan nilai ringgit kembali stabil,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: [VIDEO] Kita perlukan ‘bomoh’ untuk pulihkan ekonomi negara – Ibrahim Abu Shah
Semua pihak sepatutnya kembali memberi tumpuan kepada negara, habis sahaja Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) yang khabarnya bakal diadakan tidak lama lagi, binalah semula negara.
Ketidakstabilan politik telah membawa kepada ketidakstabilan semua sudut baik ekonomi mahu pun negara.
Malah, apa yang ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM, Tun Mohd. Hanif Omar ketika berucap pada awal sesi, agenda pemerkasaan bumiputera pun masih indah khabar daripada rupa.
“Namun, kelesuan terhadap resolusi kongres itu amat ketara dengan kelesuan terhadap usaha itu adalah manifestasi bahawasanya agenda bumiputera sememangnya kian lesu.
“Jika agenda ini dah lesu, masakan komuniti ekonomi bumiputera akan lebih berdaya saing dan lebih berkemampuan terutama dalam mendepani kegawatan ekonomi yang telah pun mengetuk pintu kita.
“Sayugia kita semua maklum, model pembangunan negara kini berteraskan kemakmuran, maka ia ambil kira peranan dan sumbangan semua domain kemakmuran selain ekonomi serta kewangan secara saksama,” katanya.
Jadi, insaflah. Tumpu pada negara dan rakyat yang mahukan kemakmuran.
Tahun hadapan dikatakan bakal jadi tahun ‘gelap’, takkanlah kita juga mahu ikut ‘bergelap’?
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram